SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili menerusi siaran media memberitahu, satu kemalangan maut berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman sekitar jam 6 pagi Khamis.

"Kemalangan berlaku ketika sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun semasa bergerak lurus menuju ke arah Sibu Jaya dan sampai di tempat kejadian telah hilang kawalan, lalu terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam parit," katanya.

Katanya, akibat kemalangan pemandu kereta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sibu.

"Sementara penumpang hadapan seorang wanita tempatan berumur 43 tahun cuma mengalami cedera luka," ujarnya.

Zulkipli memberitahu, pihak polis masih menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.