Basare (kanan) dan Ibrahim (dua kanan) keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Seorang lelaki terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun terhadapnya kerana melakukan kesalahan memiliki sebilah parang berukuran 58 sentimeter (cm) tanpa tujuan sah, Isnin lalu.

Tertuduh, Mohamad Basare Mohamad Salleh, 44, mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum sepuluh tahun.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff menetapkan lelaki dari Kampung Tabuan Tengah itu untuk dikenakan bon berjumlah RM8,000 (tidak didepositkan) berserta seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 15 Januari lalu, sekitar jam 8.30 malam di hadapan sebuah pasar raya di Moyan, Jalan Malihah di sini. 

Fakta kes mendedahkan semasa sepasukan polis sedang bertugas meronda tempat kejadian, mereka melihat sekumpulan lelaki sedang berkumpul dan berada dalam keadaan mencurigakan. 

Pemeriksaan dilakukan dan polis mendapati salah seorang daripada lelaki itu (tertuduh) membawa dan memegang sebilah parang panjang. 

Pihak polis kemudian menerangkan kepada tertuduh bahawa membawa senjata tajam di tempat awam merupakan satu kesalahan. 

Semasa tangkapan dibuat, tertuduh melawan serta bertindak agresif sehingga mengalami sedikit kecederaan.

Difahamkan juga, tertuduh dikatakan tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan sebarang jenayah baikpun mahu mencederakan sesiapa pada malam kejadian.  

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dikenakan sepuluh sebatan setelah mengaku bersalah memiliki 35.22 gram methamphetamine.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Ibrahim Zainal, 36, dari Kampung Tabuan Lot, untuk dikuatkuasakan mulai dari tarikh tangkap (10 November 2022).

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 November 2022, sekitar jam 11.30 pagi di sebuah rumah di Taman Malihah, di sini. 
Semasa pemeriksaan dibuat di dalam sebuah bilik di rumah tersebut, polis menjumpai sebuah peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 51.15 gram. 

Barang kes dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan kimia pada 19 Disember 2022 mengesahkan barang itu mengandungi 35.22 gram Methamphetamine (berat bersih). 

Oleh itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan juga minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.