PUTRAJAYA: Kerajaan telah memulakan peralihan ke subsidi bersasar dengan mengurangkan subsidi bagi pengguna elektrik voltan sederhana dan tinggi bukan domestik kerana subsidi secara pukal adalah tidak efisien dan tidak lestari.

"Kita mendapat banyak kritikan dalam kalangan industri tetapi peralihan ini bukan lagi satu pilihan," kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim  Nik Nazmi Nik Ahmad semasa berucap pada perhimpunan tahun baharu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga perlu memastikan sistem bekalan elektrik negara mempunyai daya harap yang tinggi dan tidak memberi impak negatif kepada alam sekitar serta pada masa yang sama mengekalkan kadar tarif yang mampu dibayar oleh semua penduduk di Malaysia.

Katanya kerajaan juga telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan penjanaan tenaga elektrik daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB) di masa hadapan dan meminta warga NRECC untuk memudah cara penyertaan industri, memastikan kos menjalankan perniagaan berpatutan serta mengurangkan karenah birokrasi bagi TBB berkembang.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata kementeriannya akan membangunkan Dasar Air Negara dengan menekankan peranan air dalam kerangka pengurusan membabitkan alam sekitar, perubahan iklim, tenaga, biodiversiti serta sumber asli.

Beliau berkata kira-kira 90 peratus daripada bencana alam seluruh dunia adalah berkaitan air sama ada banjir atau kemarau yang menyebabkan berjuta-juta kerugian setiap tahun.

Menurut Nik Nazmi kementeriannya perlu memperkukuh strategi pelaksanaan membabitkan pengurangan risiko bencana dan impak perubahan iklim iaitu banjir yang merupakan satu daripada fokus utama kerajaan pada masa ini.

"Kementerian harus mengambil kira dan memberi keutamaan kepada rakyat terutama golongan B40 dalam pengurusan banjir. Ini termasuklah pemuliharaan kawasan tadahan air sebagai khazanah alam yang sangat penting dalam menjamin sumber air negara," katanya. - BERNAMA