Shankar (dua kanan) bercakap dengan Wee (dua kiri) dan isteri Wee, Datin Donna Drury Wee (kiri) selesai prosiding hari ini. Turut kelihatan, Russell (kanan) dan Yu (tiga kanan).

KUCHING: Keputusan kes saman Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA) Dato Richard Wee (plaintif) terhadap Ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Michael Kong (defendan) berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam laman Facebook Kong akan diketahui pada 1 Mac ini.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Chong Siew Chiang, Chong Chieng Jen dan Brenda Chong yang mewakili defendan, serta Shankar Ram, Russell Lim dan Yu Ying Ying mewakili plaintif.

"Penjelasan bagi penghujahan selesai. Keputusan kes (saman) ditetapkan pada 1 Mac ini, jam 2.30 petang," kata Alwi pada prosiding hari ini. 

Seramai 17 saksi plaintif termasuk Wee dan empat saksi defendan termasuk Kong selesai memberi keterangan pada perbicaraan bermula sejak 22 Jun 2021.

Selain Wee dan Kong, turut memberikan keterangan dalam kes ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong, peguam Wong King Wei, Pembantu Peribadi kepada Wee iaitu Kueh Mui Huang, peguam Chai Voon Tok dan lain-lain.

Pada 2020, Wee memfailkan saman sivil terhadap Kong susulan Kong dikatakan mengeluar kenyataan berunsur fitnah menerusi laman Facebook beliau pada 21 Julai 2020.

Kong mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Wee memaklumkan terdapat kemungkinan lebih banyak pengundi Cina bandar di negeri ini akan memberikan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri tahun 2021 kerana komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan gabungan itu dalam memperjuangkan autonomi Sarawak.

Kong mendakwa, sebelum Wee bersuara bagi pihak masyarakat Cina dalam usaha untuk menyokong kerajaan GPS, beliau (Wee) harus mengisytiharkan perniagaan dan minat peribadinya terhadap pemerintah GPS, terutamanya berhubung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).