MIRI: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan dua sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang gadis bawah umur.
    
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selama tiga tahun semasa menjalani hukuman penjara dan dua tahun pengawasan oleh pihak polis setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
    
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Amir Shah Amir Hassan setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Albeto Sanchez Sait, 23, dari Kampung Long Tuyut, Tinjar, Baram, didapati telah melakukan amang seksual terhadap seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun untuk tujuan seks.
    
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh masing-masing pada jam 11.20 malam, 4 Januari lalu dan jam 2.45 petang, 5 Januari lalu di sebuah rumah di Tinjar, Baram.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.
    
Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan sekali sebatan, manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan sekali sebatan.
    
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan berkuatkuasa mulai tarikh jatuh hukuman hari ini, 19 Januari.
    
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Fahmy Md. Roselan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.