NAIROBI: Sebelas anggota tentera termasuk seorang komander kanan terkorban kelmarin dalam serangan ke atas sebuah kem tentera di utara Mogadishu yang diakui oleh Al-Shabaab, seorang komander militia di kawasan itu memberitahu AFP.

“Sebelas anggota tentera, termasuk seorang komander kanan, meninggal dunia dalam serangan itu dan beberapa pengganas turut terbunuh,” kata Mohamed Osman, seorang komander militia klan tempatan yang bersekutu dengan kerajaan, menerusi panggilan telefon mengenai serangan di Hawadley.

Beliau berkata kumpulan pelampau itu meletupkan sebuah kereta yang membawa bahan letupan di luar kem 60 kilometer (37 batu) di utara Mogadishu sebelum lelaki bersenjata menyerbu kawasan berkenaan.

Ahmed Mohamud, seorang komander tentera dengan Tentera Negara Somali (SNA) di pekan berhampiran Balcad, menyatakan lebih 10 orang telah meninggal dunia dalam serangan namun menambah bahawa angka tersebut adalah sementara.

“Pengganas telah diusir dan tentera Somali kini mempunyai kawalan penuh ke atas tempat itu,” katanya. — AFP