PROVOK: Gambar menunjukkan Ramsdale (tengah) meraikan kemenangan pasukannya di hadapan penyokong Spurs pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur pada 15 Januari lalu. — Gambar AFP


LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Richarlison berkata penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale ‘tidak menghormati’ penyokong Tottenham dengan meraikan kemenangan 2-0 pasukannya di hadapan penyokong tuan rumah.

Richarlison menolak Ramsdale selepas penjaga gol itu mengangkat tangan dan mengucup jersinya sambil melihat ke arah penyokong lawan selepas tamat permainan.

Ramsdale kemudian ditendang di belakang oleh seorang penyokong Tottenham ketika dia mahu meninggalkan padang.

“Apa yang saya benar-benar tidak suka ialah penjaga gol mereka meraikan kemenangan di hadapan penyokong kami,” kata Richarlison ketika memberitahu penyiaran ESPN. 

“Ia tidak menghormati penyokong kami, dia mempunyai penyokongnya, dia harus meraikan kemenangan bersama penyokongnya, bukan bersikap begitu dengan penyokong kami.”

Richarlison, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-71 perlawanan Ahad lepas, berkata dia tidak risau dengan hukuman dari tindakannya.

“Hukuman tidak penting,” katanya. “Orang tahu kami cuba sebaik yang kami mampu tetapi anda harus menghormati pasukan lain. Dia kurang hormat di sini dan saya pergi bersemuka dengannya untuk menyatakan perkara ini.”

Richarlison juga berperang mulut dengan dua lagi pemain Arsenal, Gabriel Martinelli dan Gabriel Magalhaes semasa perlawanan.

Ketika Martinelli mahu mengambil tendangan sudut, dia melihat rakan sepasukan antarabangsa Brazil, Ricarlison memanas badan berhampiran dengannya dan cuba bergurau dengannya tetapi tidak diendahkan. Richarlison berkata dia kecewa dengan Martinelli kerana cuba mendapatkan penalti sebelum itu.

“Saya mahu meminta maaf kepadanya,” kata Richarlison. “Dia menghulur tangan dan saya tidak membalasnya. Suka atau tidak, dia adalah rakan sepasukan Brazil. Ia adalah lumrah sukan, ia perlawanan berjiran, kami masing-masing dalam keadaan tegang.

“Dengan Gabriel, saya bertengkar dengannya kerana ia membuang masa. Dia akhirnya mendapat kad kuning kerana membuang masa dan saya berkata kepadanya: ‘Mari bermain’. Dan dia sengaja membuang masa.”

Tottenham berkata mereka bekerja dengan Arsenal dan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti penyokong yang menendang Ramsdale dan akan mengambil tindakan sewajarnya. — AFP