Abang Johari menyempurnakan simbolik pada majlis jamuan malam Ulang Tahun ke-20 Pusat Jantung Sarawak di Kuching, malam Isnin. - Gambar Penerangan

KUCHING: Sarawak terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi membina sebuah pusat kanser di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini amat memerlukan kemudahan itu lebih-lebih lagi terdapat trend peningkatan pesakit kanser.

“Saya tahu untuk membina pusat itu memerlukan kos yang sangat besar, mungkin menelan belanja RM800 juta ke RM1 bilion dan di situ, kita boleh bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita (kerajaan Sarawak) boleh memberi peruntukan pendahuluan (pinjaman) menggunakan dana negeri dan selebihnya seperti doktor dan peralatan akan disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan malam Ulang Tahun ke-20 Pusat Jantung Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di sini, malam Isnin.

Abang Johari berkata, perincian mengenai pengaturan kewangan itu boleh dibincangkan kemudian antara kerajaan Sarawak bersama KKM.

“Dengan adanya kemudahan seperti itu, barulah kita dapat menyediakan rawatan perubatan kepada pesakit kanser,” katanya.

Menurutnya, kos untuk pesakit kanser mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur adalah agak mahal, terutama bagi mereka yang berasal dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.

"Jika kita mempunyai pusat kanser di sini, pesakit dari bahagian lain di Sarawak serta dari Sabah atau Kalimantan, Indonesia boleh datang untuk mendapatkan rawatan di pusat itu dengan kos yang lebih rendah.

“Sebab itu pada masa depan, kita perlu berfikir bagaimana untuk membina kemudahan ini demi rakyat kita,” katanya.

Justeru, beliau berharap Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dapat berbincang dan melaksanakan penubuhan pusat kanser itu.

“Sebenarnya, saya sudah buat ‘homework’ dan jika anda (kerajaan Persekutuan) bersetuju, kita boleh memulakan pembinaan (pusat kanser) hujung tahun ini.

“Dari segi rejim kewangan dan cara membiayainya, ia adalah keputusan kerajaan persekutuan, tetapi kita boleh bekerjasama demi rakyat kita, mereka dari Sabah dan Sarawak termasuk rakan-rakan kita di Kalimantan dan dalam kerjasama Asean dari segi penjagaan kesihatan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Abang Johari bercadang untuk menghantar delegasi yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian untuk lawatan kerja ke syarikat Samsung Biologics di Seoul, Korea Selatan.

Menurutnya, syarikat itu sedang menjalankan penyelidikan mengenai kanser khususnya dalam pembuatan ubat di mana jika berjaya, ubat itu akan memberi kesan kepada sel kanser tanpa menjejaskan sel lain.