Dilaksana dengan memaksimumkan penggunaan teknologi melalui kaedah pertanian pintar

Abang Johari (tiga kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Bengkel Sekuriti Makanan Sarawak-Belanda 2023 di Kuching hari ini.Turut kelihatan (dari kiri) Dr Rundi, Werner, Pengarah Pengurus Agro Machtigen Malaysia Sdn Bhd Moshe SM Bujang dan Dr Abdul Rahman. - Gambar Penerangan

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Duta Belanda ke Malaysia (Jacques Werner) dan juga kerajaan Belanda kerana dapat bekerjasama (dengan Sarawak) dalam bidang pertanian moden menggunakan teknologi terkini.” 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Premier Sarawak 

Oleh Patricia Gari

KUCHING:Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Belanda dalam sektor pengeluaran makanan berkualiti dengan memaksimumkan penggunaan teknologi melalui kaedah pertanian pintar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak boleh mengikut cara Belanda membangunkan bidang pertanian yang merupakan antara enam sektor utama dibangunkan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2023.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Duta Belanda ke Malaysia (Jacques Werner) dan juga kerajaan Belanda kerana dapat bekerjasama (dengan Sarawak) dalam bidang pertanian moden menggunakan teknologi terkini.

“Kerjasama ini adalah untuk membangunkan sektor makanan kita yang berteraskan kepada pertanian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Sekuriti Makanan Sarawak-Belanda yangg julung kalinya diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abang Johari berkata menyebut sekuriti makanan, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah membangunkan semua komponen dalam sektor pertanian bermula dari sudut pengeluaran makanan hingga pengurusan serta hala tuju yang jelas.

Sarawak katanya mempunyai 2.8 juta penduduk, berbanding Belanda yang mempunyai populasi 17 juta tetapi keluasan negaranya hampir sama dengan Sarawak.

“Walaupun Belanda mempunyai keluasan hampir sama dengan Sarawak ia negara pengeluar makanan kedua terbesar dunia. 

“Kalau bercakap mengenai (pengeluaran) bunga, Belanda (pengeluar) nombor satu.

“Ini bermakna bagi kita di Sarawak, kita boleh mengikut cara Belanda membangunkan sektor pertanian mereka. Asasnya adalah pertanian dan mereka tidak membazir (penggunaan) tanah.

“Saya dimaklumkan jika mereka (Belanda) menanam satu tanaman dan kawasan itu tidak boleh menanam tanaman sama pada tahun berikutnya, untuk menanam tanaman lain, ia diberikan kepada petani lain (untuk menanam tanaman lain). Maknanya tiada pembaziran guna tanah berlaku,” jelasnya.

Abang Johari yakin walaupun mempunyai saiz tanah yang luas, penduduk tidak ramai Sarawak boleh menjadi pengeksport makanan utama di wilayah ini dengan melihat kelebihan jarak negeri ini dari 50 peratus populasi dunia hanya enam jam perjalanan menggunakan kapal terbang.

Menurutnya sekiranya Sarawak dapat menjangkau pasaran itu (50 peratus penduduk dunia), pertama akan membantu mengatasi masalah kebuluran, menyedia makanan berkualiti dan mampu milik.

“Ini juga akan menyumbang kepada kemakmuran penduduk di wilayah ini. Oleh sebab itulah, kita perlu mengusahakan pertanian pintar.

“Bagi tujuan itu, kita mesti melatih sumber manusia kita dalam bidang pertanian pintar.

“Saya berharap bengkel hari ini dapat menemukan kejayaan negara Belanda dengan kita sebagai wilayah yang sedang membangun dan menggunakan teknologi… teknologi itu mesti teknologi pintar, hijau dan mesra alam sekitar dalam pengeluaran makanan berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari berkata beliau telah berbincang dengan universiti-universiti awam dan swasta di negeri ini dalam usaha meningkatkan jumlah graduan dalam teknologi industri makanan.

Beliau berkata universiti-universiti itu ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak.

“Saya telah berbincang dengan universiti-universiti ini untuk mengeluarkan graduan yang dilatih dalam bidang pemakanan atau teknologi makanan bagi menghasilkan makanan berkualiti,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Abang Johari berkata, kerjasama itu tidak hanya akan membangunkan sektor pertanian tetapi memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Sarawak dan Belanda.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Duta Belanda ke Malaysia Jacques Werner.