KENANGAN: Chin bersama pemimpin LDP lain merakamkan gambar kenangan.

TAWAU: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu diwartakan di semua negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata, Perdana Menteri juga diharapkan tidak akur kepada tekanan untuk mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

"Walaupun RUU Anti Lompat Parti sudah diluluskan di Parlimen, tetapi masih banyak negeri yang belum membentangkan dan meluluskan RUU berkenaan di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

"Kita perlu memastikan semua negeri mewartakan RUU Anti Lompat sebelum PRU diadakan," katanya ketika merasmikan Persidangan Bersama LDP Bahagian Balung, Sri Tanjong, Merotai dan Tungku di sini, semalam.

Beliau berkata, baru-baru ini rakyat negara ini juga telah menyaksikan bekas pemimpin negara dijatuhkan hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah.

Katanya, pengadilan seumpamanya mampu memberikan harapan kepada masa depan negara yang lebih baik.

Katanya, tidak dinafikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018 telah memulakan inisiatif untuk menghukum para pemimpin lalu yang mengamalkan rasuah.

"Tanpa perubahan drastik dalam arena politik pada 2018, Malaysia berkemungkinan masih dibelenggu dengan amalan salah guna kuasa dan rasuah oleh pemimpin-pemimpin tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri hari ini juga diharapkan tidak akur dengan tekanan untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Katanya, ramai pemimpin percaya bahawa mereka yang kini disabitkan serta sedang disiasat atas kes rasuah boleh terlepas sekiranya mereka kembali berkuasa nanti.

"Oleh itu, Perdana Menteri jangan sesekali akur dengan tekanan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum secepat mungkin, pastikan RUU Anti Lompat Parti diluluskan di semua negeri di Malaysia," katanya.

Sementara itu katanya, sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak memberikan sokongan penuh kepada parti tempatan memandangkan terdapat pepecahan jelas berlaku kepada parti serta pengundi dari Semenanjung Malaysia.

"Kita tidak lagi perlu akur dengan arahan kerajaan Persekutuan dan kita dalam parti tempatan boleh memiliki kuasa lebih besar dalam menentukan keputusan sekali gus menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.