Soo menyerahkan baju kemeja T parti kepada George sebagai simbolik parti memilihnya sebagai calon bertanding di Puncak Borneo pada PRU15 akan datang.

KUCHING: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) menamakan Pengerusinya George Young Si-Ricord Jr sebagai calon yang akan mewakili parti itu bertanding di kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Presiden ASPIRASI, Lina Soo mengumumkan perkara itu semasa program ‘Jelajah Aspirasi’ bagi memperkenalkan bendera dan lambang parti itu kepada umum di Sumur Bunuk di Padawan dekat sini pada Ahad.

“Kita berharap anda semua boleh memberi sokongan penuh kepada George, supaya kita berjaya merampas Puncak Borneo,” katanya.

Mengenai program itu, Soo berkata ia antara siri program di bawah “Jelajah Aspirasi” bagi mempromosikan parti kepada komuniti di Puncak Borneo dan berterima kasih kepada penduduk di situ kerana sokongan diberikan memastikan program tersebut berjalan dianjurkan.

Sementara itu, George berkata ASPIRASI merupakan platform yang baik untuk calon potensi Bidayuh, tidak hanya untuk PRU15 tetapi pilihan raya negeri atau PRU pada masa akan datang.

Beliau berkata ini kerana parti itu diasaskan oleh mendiang Dr Patau Rubis, yang berketurunan Bidayuh.

George berkata selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) 2021, beliau meletak jawatan sebagai ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan menyertai ASPIRASI dalam usaha memperkasakan aspirasi Bidayuh di Puncak Borneo. “Selepas PRN12 tahun lalu, saya mengambil keputusan keluar dari arena politik dan melibatkan diri dalam perniagaan. Bagaimanapun, panggilan untuk saya menyertai semula politik sangat kuat, jadi akhirnya saya kembali aktif berpolitik.

“April tahun ini, saya dan beberapa ahli (PSB) yang lain menyertai ASPIRASI dan saya berterima kasih kepada Soo kerana beliau tidak hanya memberi kepercayaan sebagai pengerusi parti tetapi sebagai calon yang akan bertanding di Puncak Borneo,” kata George.

Pada PRN12 Disember 2021, George bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan menggunakan tiket PSB tetapi kalah kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Hamzah Brahim selepas wakil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menang dengan 7,854 undi.