TAWAU: Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) disaran untuk melibatkan generasi muda agar menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terus releven pada masa akan datang.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kepimpinan PKMT perlu mengambil kira penglibatan generasi muda dalam persatuan ini.
Katanya, dunia tanpa sempadan ketika ini, memerlukan peranan golongan muda yang celik dengan kemajuan teknologi canggih dan moden.
“Selain itu, penglibatan belia juga dapat mengelak daripada mereka tercicir jauh dengan aktiviti yang tidak sihat dan berfaedah.
“Justeru, PKMT perlu memainkan peranan untuk membentuk generasi muda supaya terlibat dengan aktiviti NGO, sekali gus memperlihatkan usaha membela masyarakat melayu di daerah ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PKMT bagi tahun 2020-2022, di sini semalam.
Menurutnya, selaras dengan NGO tertua di daerah ini, PKMT perlu menjadi sebuah pertubuhan yang terus diterima masyarakat dan membantu pembangunan negara.
“Kewujudan PKMT selama 84 tahun di daerah ini, cukup memberikan impak yang besar terutamanya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.
“PKMT terbukti telah menyatupadukan semua rumpun melayu di Tawau tidak kira bangsa Suluk, Bajau, Tidung, Bugis, Banjar dan sebagainya,” katanya.
Nizam yang juga penaung PKMT menzahirkan tahniah kerana PKMT telah membina satu tugu peringatan sebagai mercu tanda pertubuhan di Perbandaran Tawau.
“Saya difahamkan tugu itu memaparkan info sejarah berkaitan PKMT dan mampu menjadi daya tarikan pelancong yang datang ke Tawau,” katanya.
Sementara itu, Presiden PKMT, Kee Mohd Ayub Kee Abu Bakar berkata pihaknya komited untuk terus memainkan peranan memartabatkan bangsa rumpun melayu di daerah ini.
“Kita cuba untuk meningkatkan dan memajukan masyarakat melayu Islam dari segi Sosio Ekonomi dan pendidikan agama.
“Setakat ini, keahlian PKMT melebih 3,000 orang dan kita akan cuba menambah bilangannya terutamanya generasi muda seperti yang disarankan oleh penaung PKMT,” katanya.
Mohd Ayub berkata banyak aktiviti yang sedang dirancang oleh PKMT untuk menarik generasi muda termasuklah sukan dan kursus-kursus keagamaan.
Terdahulu, Nizam menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk pembangunan dan aktiviti PKMT di daerah ini.
Turut hadir, Ketua Daerah, Kee Jamal Kee Sulaiman dan Timbalan Presiden PKMT, Ts. Ismail Awang.