Oleh Naziah Naziri
PERSOALAN tidak dapat dijawab. Mereka berdua hanya tunduk membisu. Tuan Ismail harus tahu mengapa hal ini berlaku. Figura lelaki tinggi berusia lewat enam puluhan itu menatap wajah sugul di hadapannya. Kemeja putih kain linen sepadan dengan seluar slack hitam, ada lipatan kecil di hujung kaki seluar tersebut. Jam bertali hitam di tangan sangat sesuai dengan kulit cerah si pemakai. Menampakkan sifatnya yang suka akan kesederhanaan. Dewan gah yang dingin tidak dapat memujuk rasa kecewanya. Bukan kerana tiada permaidani merah, bukan kerana itu! Seperti kebiasaan sambutan hari kemerdekaan, bendera akan dikibarkan sepanjang perjalanan ke dewan. Bangunan kerajaan dan swasta meriah dengan bendera tetapi kali ini tidak kelihatan. Mana perginya bendera kemerdekaan itu? Terjentik luka jiwa patriotiknya. Seakan hilang daulat merdeka. Terpalit sakit di benaknya. Andai pejuang kemerdekaan masih hidup, mesti hancur berkecai hati mereka. Menaikkan bendera merdeka dan menurunkan bendera penjajah adalah dua situasi yang berbeza. Tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Bendera merdeka membawa makna besar. Bukan sedikit pengorbanan mereka. Nyawa jadi taruhan. Sepertimana bertukar nyawa Sir Charles Arden Clarke yang tiba-tiba beliau ditukarkan ke Nigeria dan digantikan dengan pengganti beliau, Sir Duncan Steward. Siri lawatan gabenor kedua, Sir Duncan Steward, bertukar menjadi huru-hara di Sibu. Anak muda bernama Rosli Dhoby tampil berani. Badik tajam telah menjadi saksi siri pembunuhan yang telah dirancang dengan teliti. Setelah beberapa minggu bertarung nyawa akhirnya Sir Duncan Steward meninggal dunia. Terpahat dalam sejarah, Rosli Dhoby dan Morshidi Sidek dihukum gantung sampai mati pada 2 Mac 1950. Awang Rambli dan Bujang Suntong juga menerima hukuman yang sama. “Rosli Dhoby yang dibunuh belum sempat melihat negara ini bebas merdeka. Hargai pengorbanan beliau. Siapa pun pejuang itu walau bukan saudara mara kita tanpa mereka kita tidak mungkin hidup tenang, aman damai seperti sekarang ini.” Tuan Ismail mengetap bibir. Nah! Apa yang dimaksudkan oleh gabenor terdahulu? Mungkin kita telah lupa wajah gembira Tuan Alexander Waddell pada bulan September 1963. Dia menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyat Sarawak. Gabenor terakhir berperahu putih dari astana menyeberangi Sungai Sarawak dan menyaksikan bendera kolonial diturunkan dan kita merdeka. Tuan Ismail mahu jadi pemimpin seperti itu, ingin terus membangunkan negeri Sarawak. Dia harus membalas jasa pejuang terdahulu. Merdeka bagi Tuan Ismail adalah apabila kita berhak memilih atau membuat keputusan tanpa ada kongkongan dari pihak tertentu, iaitu penjajah Permaidani merah akan direntang memanjang sehingga ke podium. Ada tarian tradisional yang lemah gemalai ditarikan setelah berlatih berbulan-bulan lamanya. Tetamu yang hadir akan menghulurkan tangan. “Selamat Hari Merdeka YB.” Tuan Ismail melangkah menuju ke kerusi tinggi berukir cantik lalu melabuhkan punggung di situ. Hati yang galau, menzahirkan ekspresi wajah tidak ceria. Ada sebab lain yang bermengkal di hati Tuan Ismail. Apabila negara kita aman damai, kehidupan kita menjadi terlalu selesa sehingga makna merdeka hanya diraikan pada tarikh tertentu sahaja. Hatinya bermonolog. Ada tiga buah kerusi dan podium di atas pentas yang gah. Menurut protokol, kerusi ketua yang paling besar dengan ukiran kayu yang nampak mewah berbanding kerusi di sebelah kiri dan kanannya. Kerusi kiri harus diduduki oleh Alis, pembantu peribadinya. Berkulit gelap, berbadan kurus, tidak tinggi dan suka memakai pakaian berjenama. Berkebolehan berkomunikasi dengan baik. Sementara kerusi di sebelah kanan khas untuk Babas, orang kuatnya. Babas berbadan tinggi dan tegap. Kulit sawo matang, graduan dari luar negara. Kelebihan Babas mempunyai pengalaman sepuluh tahun belajar dan bekerja di negara kanggaru. Ilmunya luas. Mereka inilah nadi kepada seorang pemimpin. Pemimpin harus ada penasihat yang bijak, jujur, amanah dan yang tiada berkepentingan. Melalui mereka, Tuan Ismail akan memperoleh semua maklumat daripada nasib Kak Missiah di hujung kampung sehingga ke rungutan graduan universiti yang belajar di dalam dan luar negara. Bermakna ketua tidak akan ketinggalan satu maklumat pun mengenai rakyat dalam kawasan pentadbirannya. Mereka juga akan menyenaraikan semua maklumat dan perkembangan berita terkini dalam negara. Dari isu semasa yang tular, barisan kabinet yang memimpin negara sehingga ke kisah UFO. Kenapa Tuan Ismail dipilih untuk penggal kedua? Mungkin mereka telah melihat impak terhadap perubahan yang ketua bawa. Bersungguh-sungguh dia menjaga pengundinya. Dia bukan hanya menabur janji semasa pilihan raya. Melalui dua manusia inilah ketua mendapat semua maklumat. Pernah Alis menyampaikan keluhan Kak Missiah merungut yang kehabisan tepung. Dalam tempoh tidak sampai dua puluh empat jam, rumah Kak Missiah telah penuh dengan berpuluh-puluh kampit tepung. Kalau ada pelajar universiti tidak cukup makan, segara dibantunya. Jangan biarkan mereka berlapar. Sangat dijaganya orang muda. Bagai menatang minyak yang penuh. Pernah sekali Babas mengkhabarkan bahawa bumbung sekolah telah terbang dibawa angin. Segera Tuan Ismail menghubungi kontraktor dan bumbung sekolah segera dibaiki. Segala kesulitan yang sampai ke telinganya, dia tidak akan berlengah. Begitu dia menangani masalah orang yang di bawah seliaannya. Pemimpin yang paling tangkas bertindak. Semua orang tahu itu dan oleh sebab itulah dia memenangi pilihan raya baru-baru ini. Namun Tuan Ismail nekad masuk penggal kedua ini, dia mahu lebih fokus untuk berbakti. Kesungguhan dia membantu rakyat tidak dapat dipertikaikan. Dia mahu benar-benar memberi makna kepada rakyat. Penuh yakin Tuan Ismail berucap di hadapan seribu audiens yang memangkahnya. “Sesekali saya ingin berada di tempat anda semua. Saya sebut dan minta ... kemudian, dilaksanakan tanpa bertangguh waima sesaat pun.” Senyumnya meleret sehingga memaut hati penyokongnya. Tepukan bergemuruh. “Ada beberapa perkara yang saya tidak berpeluang melakukannya. Tuan-tuan dan puan-puan sangat bertuah.” Tuan Ismail menundukkan kepala. Ya, ini pengorbanannya. Tuan Ismail percaya, ini yang harus dia bayar. Tuan Ismail tidak berpeluang menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah walau benda nampak kecil dan remeh. Sebab keluarnya subuh dan baliknya dinihari. Adanya teknologi, dia boleh berinteraksi dan bertentang mata dengan anak-anak. Walau hanya di alam maya. Memadai. Dia tidak boleh menyesal. Mana tahu, mungkin ini salah satu asbab dia di hari kemudian. Untungnya dia ada seorang suri yang memainkan peranan utama dalam keluarga. Surilah orang kuat di belakangnya, melengkapi kekurangannya dan bertindak membantu mengurus anak-anak. Semua yang mendengar ucapan di dewan berhawa dingin hingga 21 darjah selsius itu terdiam. Selama ini mereka tidak melihat sisi lain pemimpin mereka itu. Mereka hanya tahu meminta itu dan ini. Tuan Ismail mahu mengisi kemerdekaan kali ini dengan makna sebenar. Kak Missiah bukan hanya perlu tepung tetapi Kak Missiah juga harus ada kemahiran dan ilmu. Kak Missiah berpotensi menjana pendapatan sekaligus memajukan anak-anaknya. Dia nekad untuk memerdekakan Kak Missiah. Tepung dan telur bukan masalah utama. Perlu ada alternatif lain selepas ini. Kak Missiah harus ada kemahiran lain.
Alis dan Babas terus diam membatu. Kesal permaidani merah tidak dihampar tadi. Kesal bendera lupa dipasang pada setiap bangunan. Risau andai katering tidak datang pada masa yang tepat. Paling mereka runsing, jika makanan di meja VIP tidak sedap. Namun mereka musykil, kenapa Tuan Ismail langsung tidak memandang wajah mereka. Kenapa? Soalan datang bertubi-tubi. Kerisauan itu menyebabkan mereka tidak sempat untuk sama-sama beraksi dengan ketua tadi. Bukankah tugas mereka paling mudah? Apabila ketua mereka bertepuk tangan, maka mereka perlu turut bertepuk dengan lebih bersemangat. Apabila ketua ketawa, maka mereka mesti memeriahkan lagi gelak ketawa tersebut dengan ketawa berdekah-dekah, lebih nyaring dan nampak bersungguh-sungguh. Namun, hari ini reaksi ketua lain sedikit. Tiada ramah mesra seperti biasa. Waktu keluar dari kereta tadi mereka berdua sudah merasakan ada sesuatu yang sedang bermain di kepala ketua mereka itu. Kegagalan membentangkan permaidani merah satu perkara yang memalukan bagi mereka. Bendera tidak dipacak sepanjang jalan ke dewan itu juga merupakan kegagalan bagi mereka. Ikutkan hati, mahu sahaja ditangguh sambutan hari kemerdekaan kali ini. Sambutan hari kemerdekaan ini hanya simbolik dan boleh ditangguhkan ke hari lain. Atau batalkan sahaja. Mudah, habis cerita. Alis dan Babas melemparkan senyuman kepada wartawan. Senyuman yang nampak sungguh sempurna dari mana-mana sudut sisi rakaman kamera wartawan. Dari podium, Tuan Ismail hanya memerhati tingkah laku Alis dan Babas. Apakah makna kemerdekaan bagi dua insan ini? Gagalkah aku? Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Sebab apa sahaja yang diusahakan dia selama ini bukan boleh dapat hanya dengan memetik jari. Harus bekerja keras.Tuan Ismail juga terpaksa turun padang, membuat kertas kerja, bersengkang mata memerah otak dan kemudian membentangkan kepada pihak atasan yang lebih berkuasa. Kekuatan proposal itulah yang membantu dia mendapatkan peruntukan. Peruntukan itulah yang Tuan Ismail gunakan untuk membantu rakyat. Alis hanya menunduk. Kemeja baharu yang dibeli petang semalam tidak mendatangkan rasa selesa. Mahu sahaja rasanya dibuka semua butang baju tersebut tetapi sudah pasti akan menimbulkan rasa pelik ketuanya. Kesilapan harus seminimum mungkin. Suasana genting seperti ini, tingkah laku harus dijaga. Alis mesti peka dan tidak boleh mengulangi kesilapan. Babas pun sama. Babas duduknya tidak tenang. Setiap saat mengincar telefon pintar. Hatinya tidak keruan. Seperti rakannya, dia juga takut ada kesilapan lain. Melihat dewan semakin penuh hatinya semakin cemas. Sempat matanya meninjau ke meja jamuan, masih kosong. Makanan telah sebulan awal ditempah. Makanan terbaik di meja VIP. Makanan ala kadar untuk khalayak. Itu pun setelah dia menukar kepada menu yang paling murah. Kenapa semua seakan-akan tidak menjadi. Telefon pintar jenama terkemuka itu mahu sahaja dilontar ke dinding, tetapi tingkah itu seakan-akan memberi isyarat kurang ajarnya terhadap ketua. Tadi sempat juga dia menendang tong sampah plastik di bilik air, bersepah isi tong. Berbakul-bakul sumpah seranah yang keluar dari mulutnya. Sehingga dia terlupa ada orang lain sedang menggunakan bilik air sebelah. Ah! abaikan. “Kau fikir, kau boleh merdeka hanya dengan maklumat UFO. Sudah lebih tujuh dekad kisah UFO ini tidak pernah selesai. Ini hanya propaganda.” Babas hanya diam membatu. Walau di dalam kepalanya dia boleh menyenaraikan dan menyatakan lokasi pertama penemuan UFO di Gunung Rainier oleh Kenneth Arnold. Namun segera dipintas oleh barisan ayat ini - “Pergi kepada yang menguntungkan.” Ya, Babas tidak mahu rugi. Membantah membawa makna dia akan rugi. Dia akan hilang sumber pendapatan. Dia harus bersetuju dengan ketua. “Kamu berdua sebenarnya belum merdeka. Aku tahu tepung Kak Missiah tidak pernah cukup. Mana perginya tepung yang parti kita sumbangkan? Bukankah dengan cara itu Kak Missiah boleh meningkatkan jumlah jualan kuih muihnya? Kita harus memerdekakan Kak Missiah agar selepas ini, dia boleh berdikari. Merdeka adalah apabila kita tidak lagi perlu meminta-minta.” Alis terkejut. Babas juga kehairanan. Mereka berpandangan. Dewan menjadi sunyi seketika. Semua mata tertumpu ke atas pentas. Mereka mendengar setiap tutur kata Tuan Ismail dengan teliti. Alis sedikit cuak. Bagaimana ketua boleh tahu soal tepung yang dihantar ke rumah Kak Missiah tidak pernah cukup? Kalau diagihkan lima kotak, maka tiga kotak akan disimpan ke dalam stor rumahnya. Segera dia memejamkan mata. “Habis, habis aku kali ini.” Sedikit bergetar jantungnya. Pada penggal pertama, ketua memberi mereka berdua sepenuh kepercayaan, namun masuk penggal kedua ini, ketua nampak sedikit pelik. Ketua seperti berubah. Tepung dan Kak Missiah itu hanya satu contoh terpinggir. Alis sudah mula panik. Peluh di dahi tidak dapat disembunyikan. Angkara siapakah yang berani membongkar kisah ini. Bagaimana boleh sampai ke pengetahuan ketua? Punca marah hanya permaidani merah dan bendera tetapi tempias marah harus dilepaskan kepada pembantu peribadi dan orang kuat. Seperti pada awal cerita tadi, mereka berdua hanya diam seperti tunggul. Kegelisahan tidak dapat disembunyikan. Dewan besar yang sejuk sudah terasa panas bila audiens tidak lagi fokus dengan manusia di atas pentas. Masing-masing membuat penilaian. Mengimbas kembali tingkah laku Alis dan Babas. Ada kumpulan yang kelihatan serius dan yang mendominasi kumpulan itu seorang wanita. Mungkin itu Kak Missiah. Kak Missiah hanya berbaju-T biru berlengan panjang, berseluar plazo, bertudung putih berbunga kecil dan hanya memakai sandal hitam berstoking. Sangat serius perbincangan mereka. Ah! mungkin juga pelanduk dua serupa. Cepat-cepat Alis menyedapkan hati sendiri. Babas sudah tidak senang duduk dan tidak mampu untuk mengangkat muka. Soalan tentang mana perginya peruntukan yuran pelajar anak-anak golongan B40 yang ditaja selama ini tidak dapat dijawab. “Kita bantu mereka sebab apa? Sebab mereka yang bakal mengisi kemerdekaan dan mewarisi negara ini. Mungkin juga akan berucap di podium ini satu hari kelak.” Tuan Ismail harus memerdekakan Kak Missiah supaya Kak Missiah dapat memerdekakan anak-anaknya. Sebab itu dia bersungguh-sungguh membantu kaum ibu di kawasan pentadbirannya dan yang terkini, projek Hidroponik Koperasi Wanita. Melalui ibu, sudah pasti akan merangsang anak mereka untuk serius dalam pembelajaran. Menyemai semangat juang seperti yang dilakukan oleh ibu Rosli Dhoby. Nah! dunia ini akan tenang bila wanita memainkan peranan. “Dengar baik-baik, selepas ini aku merdekakan kalian berdua. Aku tidak lagi memerlukan khidmat pembantu peribadi dan orang kuat. Kalian bolehlah mencari ketua lain. Mungkin ketua baharu akan menunjukkan kepada kalian makna sebenar merdeka. Saya juga perlu menebus kembali warna sebenar kemerdekaan saya,” Tuan Ismail dengan nada tenang dan tegas akhirnya meluahkan segala isi hati. “Pergi dari sini dan teruskan pencarian.” Alis dan Babas berpandangan. Terpana seketika sambil hati merungut kesal. Hanya kerana permaidani merah dan bendera, maka perkhidmatan mereka diberhentikan. Bagaimanakah mereka hendak menyambut hari kemerdekaan kali ini? Masalah paling besar adalah kerana mereka telah kehilangan bendera. Mereka melangkah keluar meninggalkan dewan. Tuan Ismail kekal di podium merdeka bersama-sama semangat Rosli Dhoby. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Suara bergema melantun ke langit. Suara bersatu menjadi kuat. Kak Missiah tersenyum bangga.