Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan La Liga Sepanyol di antara Sevilla dan Barcelona di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Sevilla. — Gambar AFP

MADRID: Robert Lewandowski menjaringkan gol sekali lagi ketika Barcelona menewaskan Sevila 3-0 dalam aksi La Liga Sepanyol sementara Real Madrid meraih kemenangan keempat berturut-turut ke atas Real Betis pada Sabtu.

Barcelona bernasib baik pada awal perlawanan di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan apabila penjaga golnya, Marc-Andre ter Stegen menafikan cubaan Ivan Rakitic dan Youssef En-Nesyri sebelum Barca membuka jaringan.

Raphinha menanduk bola muntah selepas rembatan Lewandowski dikeluarkan sebelum melepasi garisan gol tetapi Lewandowski tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol.

Dia mengawal satu umpanan cantik dari Jules Kounde sebelum merembat menewaskan penjaga gol Sevilla, Bono untuk gol kelimanya dari empat penampilan.

Eric Garcia melengkapkan jaringan selepas rehat dari gandingan Raphinha dan Kounde, yang dijual oleh Sevilla dengan nilai 50 juta euro pada musim panas ini.

“Ia adalah perlawanan yang sangat baik secara keseluruhannya, kami menguasai permainan dan boleh menjaringkan lebih banyak lagi gol,” kata jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez.

“Kami mengharungi satu tempoh yang sangat bagus. Menang 3-0 di Sevilla adalah satu petanda yang baik.”

Barcelona, yang menanti kunjungan Viktoria Plzen dalam aksi Liga Juara-Juara Rabu ini, kurang dua mata di belakang Madrid tetapi Sevilla hanya mengutip satu mata setakat ini.“Situasi kami ketika ini adalah sukar,” kata pemain tengah Sevilla, Rakitic.

“Saya meminta maaf di atas keputusan ini tetapi juga meminta kesabaran dan  keyakinan penyokong. Kami mempunyai sepenuh kepercayaan kepada jurulatih kami (Julen Lopetegui).”

Vinicius Junior menjaringkan gol pada perlawanan ketiga berturut-turut ketika Real Madrid membuka jaringan di Santiago Bernabeu tetapi Sergio Canales mengikat kedudukan tidak lama selepas itu.

Rodrygo memastikan kemenangan 2-1 buat Real selepas rehat untuk gol pertamanya musim ini, sekali gus menamatkan permulaan sempurna Real Betis.

“Dia penyerang istimewa kerana dia boleh bermain di mana-mana posisi. Dia sangat pantas dan bijak tanpa bola,” kata Ancelotti ketika merujuk kepada Rodrygo, yang sekarang pada musim keempatnya di Real.

“Tempoh latihan sudah berakhir dan sekarang dia adalah pemain Real Madrid.”

Seterusnya, Real akan berkunjung ke Celtic untuk perlawanan Liga Juara-Juara.

“Perlawanan paling penting di awal musim ini ialah pada Selasa ini. Kami akan menentang pasukan dengan prestasi yang baik dan ia pastinya sukar,” kata Ancelotti.

Bermain di tepat sendiri buat kali pertama musim ini selepas kerja-kerja naik taraf di Bernabeu diteruskan, Real bernasib baik apabila Nabil Fekir kelihatan dikasari dalam kotak penalti.

Insiden itu berlalu begitu sahaja dan tidak disemak oleh panel video bantuan pengadil (VAR) tetapi Fekir mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan.

Real dengan panas mengambil peluang apabila Vinicius mengejar umpanan David Alaba sebelum melambung bola melepasi penjaga gol Betis, Rui Silva untuk membuka jaringan.

Betis, yang memulakan musim dengan kemenangan ke atas Elche, Real Mallorca dan Osasuna, bangkit apabila Borja Iglesias mengumpan bola kepada Canales sebelum menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois.

Vinicius hampir meletakkan Real kembali di hadapan tidak lama selepas itu tetapi penyudahnya melambung tinggi.

Karim Benzema juga melihat cubaannya tersasar dan kemudian gagal menyempurnakan peluang dari jarak dekat selepas rehat.

Penjaga gol Betis beraksi tangkas sekali lagi apabila menepis cubaan Luka Modric sebelum Rodrygo akhirnya menjaringkan gol  kemenangan dari  umpanan Fede Valverde pada minit ke-65.

Pada perlawanan lain, Atletico Madrid seri 1-1 di Real Sociedad ketika penyerang antarabangsa Nigeria, Umar Sadiq menjaringkan gol pada penampilan sulung bersama Sociedad.

Alvaro Morata membuka jaringan buat Atletico seawal minit kelima tetapi Sadiq menanduk gol penyamaan dalam separuh masa kedua selepas perpindahan dari Almeria.

Apa yang lebih membimbangkan buat Atletico ialah kecederaan penjaga golnya,  Jan Oblak pada lewat permainan.

“Saya berharap ia kecederaan kecil dan doktor memberitahu dia boleh bermain dalam beberapa hari nanti,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone, di mana pasukannya akan menanti kunjungan FC Porto dalam aksi Liga Juara-Juara selepas ini.

Real Mallorca dan Girona seri 1-1 pada perlawanan awal. — AFP