Penonton menyalakan suar ketika menyaksikan sesi kelayakan menjelang F1 GP Belanda di Litar Zandvoort. — Gambar AFP

ZANDVOORT: Max Verstappen mengkritik tingkah laku buruk beberapa penyokongnya pada Sabtu selepas suar dibaling ke atas litar semasa sesi ujian masa kelayakan menjelang perlumbaan Grand Prix Belanda.

Juara dunia dan pendahulu keseluruhan kategori pemandu musim ini, menduduki petak pertama buat kali kedua berturut-turut pada perlumbaan di tanahairnya selepas sesi terhenti seketika apabila satu suar yang dibaling oleh penyokong jatuh di atas litar.

Bendera merah dikibarkan pada permulaan sesi kelayakan kedua (Q2), menangguhkan sesi selama enam minit ketika suar dipadamkan dan orang yang bertanggungjawab membalingnya dikenal pasti dan dikeluarkan dari litar.

Ditanya tentang insiden itu, pada hari apabila pembakaran suar yang lain turut kelihatan tetapi tidak menarik perhatian selepas penganjur membuat pengumuman bahawa pembakaran suar tidak dibenarkan, menyebabkan Verstappen mengkritik apa yang berlaku.

Dia berkata: “Ia sesuatu yang sangat bodoh untuk dilakukan. Ia tidak sepatutnya, jadi tolong jangan lakukan – kamu akan disingkirkan dari litar dan ia menjejaskan perlumbaan.”

Litar dibanjiri  penyokong Verstappen berbaju jingga pada Sabtu dengan beberapa suar dibakar walaupun amaran daripada penganjur.

Notis sepanjang litar memberi amaran bahawa sesiapa dikesan menyalakan suar akan dikeluarkan dari litar oleh kakitangan keselamatan litar.

Burung camar juga menyebabkan masalah dalam litar buat beberapa pemandu.

“Burung camar ini kembali di selekoh ketujuh,” kata pemandu pasukan Mercedes, George Russell ketika rakaman video menunjukkan beberapa ekor burung hampir dilanggar pemandu ketika litar terletak di pesisir Laut Utara. — AFP