Sukarelawan badan kebajikan Yayasan Al-Khidmat memunggah guni bantuan makanan ke atas trak bagi mangsa banjir di Karachi, kelmarin. - Gambar AFP

ISLAMABAD: China akan menyediakan bantuan tambahan sebanyak 300 juta yuan (AS$43.5 juta) kepada Pakistan susulan bencana banjir yang melanda negara tersebut.

Menurut Kedutaan China di Islamabad kelmarin, perkara itu diumumkan pengerusi Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA) Luo Zhaohui.

Menteri Luar Pakistan Bilawal Bhutto Zardari mengucapkan terima kasih kepada China atas bantuan itu.

"Ini satu lagi manifestasi hubungan unik kami terutama ketika menghadapi saat yang sukar," katanya.

Sebelum ini, China menawarkan bantuan bernilai 100 juta yuan untuk membantu mangsa banjir Pakistan.

Pakistan yang dilanda hujan lebat dan banjir telah menyaksikan 33 juta penduduknya terjejas, manakala kerugian dianggarkan mencecah AS$10 bilion berikutan kemusnahan kawasan luas tanah pertanian dan lebih sejuta rumah.

Satu pertiga kawasannya telah ditenggelami air susulan hujan monsun yang meragut sekurang-kurangnya 1,190 nyawa sejak Jun. - Bernama