Anggota Bomba berusaha memadam api yang memusnahkan sebuah rumah separuh kekal di Kampung Semerah Padi.

KUCHING: Sepuluh keluarga di Kampung Semerah Padi, Jalan Helang, di sini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada Ahad.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kenyataannya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.16 petang.

Susulan itu, pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Tabuan Jaya dan BBP Batu Lintang dikerah ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal, dua tingkat musnah sepenuhnya. Anggota bomba menggunakan teknik 'defensive' dan membentang satu aliran dua pancutan masing-masing dari jentera BBP Petra Jaya dan BBP Tabuan Jaya.

"Api berjaya dikawal dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.45 malam dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku melibatkan penghuni. Punca kejadian masih dalam siasatan lanjut," jelasnya.