Fadillah dan Wan Ahmad Uzir beramah mesra bersama para media pada majlis Libat Urus Menteri Kerja Raya di Kuching, malam Sabtu.

KUCHING: Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo sudah  mencapai kemajuan sebanyak 86.54 peratus setakat 24 Ogos ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ada beberapa seksyen yang akan dibuka tahun ini dengan tiga lagi dijangka siap pada tahun depan.

“Ketiga-tiga seksyen itu hanya akan disiapkan pada tahun hadapan sebab mengalami pelbagai cabaran dan permasalahan di tapak yang memerlukan penelitian termasuk ada yang perlu direka bentuk semula disebabkan keadaan muka bumi dan sebagainya.

“Tiga seksyen tersebut adalah di Sarikei iaitu Bukit Begunan kerana ada keruntuhan tanah, jadi kita terpaksa reka semula (pelan) di sana. Manakala satu di kawasan Sibuti di Miri, dan satu lagi di Lambir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Libat Urus Menteri Kerja Raya Bersama Media Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, malam Sabtu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion telah dilancarkan pada Mac 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan Jelajah Keluarga Malaysia peringkat Sarawak di sini, pada 7 Ogos lalu berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Dato Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dalam sesi taklimatnya memberitahu sebanyak 3,467 jalan berlubang di jalan persekutuan di Sarawak telah ditampal setakat Ogos tahun ini.

Menurutnya,  KKR telah memperkenalkan kempen ‘ZeroPotHole’ pada 2016 dan kempen ‘Aku Janji Zero Pothole’ pada Julai 2020 sebelum melancarkan kempen baharu bertajuk ‘Kita Jaga Jalan Kita’ dalam memastikan pengguna jalan raya dan lebuh raya selamat.

“Sehingga kini, sebanyak 3,467 jalan berlubang di jalan persekutuan di Sarawak telah ditampal dalam tempoh 24 jam.

“Tempoh 24 jam bermakna kita baiki jalan berlubang dalam tempoh 24 jam dari tarikh isu dibuat melalui aduan awam dan pemerhatian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),”katanya.

Mengenai panjang jalan persekutuan, Wan Ahmad Uzir berkata,  terdapat sejumlah 20,017 kilometer (km) jalan persekutuan di seluruh negara dan 844.85 km terletak di Sarawak.

“Bagi tahun ini, sebanyak RM1.08 bilion telah diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara, yang mana Sarawak menerima kira-kira RM88.3 juta. 

“Setiap negeri di negara ini menerima kira-kira bahagian pembiayaan yang sama," jelas beliau.

Menurutnya, RM88.3 juta itu digunakan untuk penyelenggaraan rutin yang menelan belanja kira-kira RM26 juta;  penyelenggaraan berkala turapan (RM40.7 juta);  penyelenggaraan berkala bukan turapan (RM16.19 juta);  penyelenggaraan jambatan (RM700,000);  penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat (RM700,000);  dan bil untuk lampu jalan dan lampu isyarat (RM4 juta).

Agensi yang bertanggungjawab dalam penyelenggaraan jalan persekutuan di Sarawak ialah DAL HCM Sdn Bhd dan JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana.