Fatimah (tengah) menyampaikan bantuan segera JKM kepada Ulau di PAWE, semalam.

MIRI: Beban golongan warga emas harus diminimumkan sebelum negara menjadi sebuah negara tua dalam tempoh lapan tahun lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk negara. 

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, jumlah penduduk Sarawak pada tahun 2018 adalah 2.8 juta dimana 7.3 peratus adalah penduduk berusia 65 tahun ke atas.

“Kita ada lapan tahun lagi menuju negara tua.

"Bagaimanapun, kita perlu ada perancangan pendek dan jangka panjang.

"Perlu fokus kepada pilihan terbaik dan boleh dilaksanakan,” jelas beliau ketika lawatan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di sini, semalam. 

Mengulas lanjut beliau berkata, golongan tersebut diminta menitikberatkan aspek kesihatan fizikal dan mental untuk mengelak kemurungan dan kesunyian. Fatimah menyeru mereka agar terus aktif termasuk menjaga kesihatan diri dan bergaul dengan masyarakat. 

"Kita harus menerima penuaan kita dengan positif.

"Selagi kita mampu, kita boleh menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada rakan dan masyarakat," katanya lanjut.

Fatimah memuji PAWE kerana aktif menganjurkan pelbagai aktiviti berupa latihan, rekreasi, terapi, pemulihan, ceramah dan keagamaan untuk ahli. 

"PAWE Miri hebat, boleh menjadi penanda aras kepada PAWE lain, " jelasnya sambil menambah, PAWE Miri memiliki ahli paling ramai iaitu 14,314 orang. 

Sehingga kini terdapat 13 PAWE di Sarawak dengan jumlah keahlian 18,762 orang. 

Menerusi PAWE, ahli dapat memperluaskan rangkaian dan berkumpul sebagai sebuah keluarga melaksanakan bersama aktiviti yang dirancang. Pada majlis itu, Fatimah turut menyampaikan bantuan segera JKM kepada tiga penerima iaitu Cissy Liew dari DUN Marudi, Ulau Eng dari  DUN Telang Usan dan Simia Balan dari DUN Mulu.

Hadir sama Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad, Penolong Pengarah JKM Miri Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad dan Setiausaha PAWE Miri, Halifah Mohamad.