JASIN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk terus memperhebat penganjuran Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di seluruh negara bagi memberi manfaat kepada pengguna dan usahawan bimbingannya.
Timbalan Menteri I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata melalui penganjuran JMKM setakat ini, sebanyak RM176,000 penjimatan atau pulangan diperoleh rakyat dengan memberi manfaat kepada lebih 30,000 pengunjung.
“Sebanyak 22 program dilaksanakan bermula 20 hingga 28 Ogos lepas membabitkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM893,000 melalui program yang turut menawarkan penjimatan sehingga 20 peratus itu.
“Ini sekali gus dapat menyokong usaha kerajaan Persekutuan dalam mengimbangi kadar inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan di samping membantu mengurangkan beban belanja terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program JMKM peringkat negeri Melaka anjuran FAMA yang turut dihadiri Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.
Pada program itu juga, 100 pembeli terawal berpeluang mendapatkan tawaran kombo barangan keperluan seperti gula, tepung minyak masak dua kilogram (2kg) dan beras 5kg berharga RM20 berbanding harga biasa RM33.40.
Ahmad berkata MAFI yang terlibat secara langsung dalam Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi turut bertanggungjawab menyelaras program JMKM di tiga negeri iaitu di Sabah melibatkan Lembaga Pertubuhan Peladang di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelantan (45 DUN oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan Melaka (28 DUN di bawah FAMA).
Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Isa Mohd Din, 66, dari Kampung Sempang Pantai berkata dia amat berharap program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang.
“Saya yang hanya kebetulan melalui kedai ini tidak menyangka dapat membeli kesemua barangan dengan harga yang sangat murah dan ia sememangnya amat membantu golongan seperti kami,” katanya.
Rozita Bakar, 57, dari Merlimau Pantai berkata dia mengetahui program JMKM melalui hantaran mesej daripada rakan-rakan melalui aplikasi WhatsApp dan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan dengan harga lebih murah daripada pasaran.
“Bagi golongan B40 macam saya, rasa bersyukur sangat dengan adanya program ini kerana ia sedikit sebanyak mengurangkan beban belanja bulanan kami,” katanya. - BERNAMA