KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan terus menyalurkan bantuan menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sebagai menghargai jasa bekas-bekas atlet yang telah mengharumkan nama negara.

Beliau berkata kerajaan baru-baru ini telah menyumbang peruntukan sebanyak RM3 juta kepada YAKEB untuk tahun ini bagi melaksanakan lebih banyak program seperti penganjuran kursus dalam bidang keusahawanan yang dapat memberi manfaat dan menambah sumber pendapatan ahlinya.

“Waktu kerajaan lain memerintah negara 22 bulan, bukan sahaja sumbangan tak diberikan malah ada cadangan nak tutup YAKEB...tahun depan ada lagi (peruntukan kepada YAKEB).

“Besar jasa atlet ini, bukan senang Jalur Gemilang boleh dikibarkan di luar negara dan lagu Negaraku tidak akan berkumandang begitu sahaja sebaliknya ia adalah atas usaha atlet-atlet yang mencapai kejayaan,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-7 YAKEB di sini hari ini.

Ismail Sabri turut meminta YAKEB untuk lebih proaktif dalam membantu bekas atlet negara yang menghadapi masalah bagi mengelakkan mereka dimanipulasi pihak tertentu.

Perdana Menteri berkata usaha itu dapat meringankan beban bekas atlet yang berdepan masalah kewangan serta mendapatkan rawatan kesihatan.

“Kadang ada sesetengah pihak cuba memanipulasi bekas atlet ini untuk kepentingan mereka termasuk isu seorang bekas atlet paralimpik yang dikatakan terpaksa jual tisu di tepi jalan sebelum ini. 

“Saya dimaklumkan YAKEB sudah cuba bantu termasuk memberikan tawaran bekerja tetapi ditolak dan selepas ditolak akhirnya jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan memberi imej tak baik kepada YAKEB dan kementerian,” katanya. 

Ismail Sabri berkata terdapat ramai bekas atlet masih belum mendaftar dengan YAKEB dan beliau mahu yayasan itu berusaha mendaftarkan lebih ramai bekas atlet bagi memastikan urusan bantuan dapat diberikan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengarahkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mengenal pasti sebahagian daripada tanah kosong milik Kementerian Belia dan Sukan bagi tujuan pembinaan Wisma YAKEB.

“Insya-Allah selepas itu boleh buat penentuan kos dan mohon kepada kerajaan dari segi kos pembinaan bangunan wisma YAKEB,” katanya.

Beliau percaya pembinaan wisma tersebut membolehkan YAKEB meneruskan program mahupun kursus dengan lebih teratur bagi kemudahan ahli di bawah satu fasiliti lebih besar.

Beliau juga percaya dan yakin dengan peranan YAKEB menjadi sebuah yayasan cemerlang melalui perkhidmatan berkualiti, berkeprihatinan dan berintegriti untuk keperluan ahlinya. - BERNAMA