KUCHING: Seorang peniaga lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki lapan senjata tiruan tanpa lesen, antaranya selaras senapang patah menyerupai model ‘Shooting Soft Bullet Launcher’ dan sepucuk Revolver.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh, Mathiew Jimmy Basing, 38, untuk dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 24 Jun lalu, sekitar jam 4.20 petang di sebuah gerai terletak di dalam sebuah pusat beli-belah di Jalan Song, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, sepasukan anggota polis membuat pemeriksaan gerai itu dan merampas barang-barang yang disyaki menyalahi undang-undang.
Selain selaras senapang patah dan sepucuk Revolver, antara barangan lain yang dirampas adalah selaras senjata tiruan jenis Groza berserta magazin dan attachment scope; selaras senjata tiruan tertera ‘M3-1’ berserta magazin dan attachment scope; selaras senjata tiruan tertera ‘M3’ berserta magazin dan attachment scope; selaras senjata tiruan tertera pelekat ‘M24 Gel Blaster Sniper RM250’ berserta magazin dan attachment scope; dan dua laras senjata tiruan lain.
Susulan itu, tertuduh ditahan dan seterusnya didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam CM Sundram.