KUCHING: Gara-gara menjalankan perniagaan barangan lusuh tanpa lesen sah, seorang peniaga lelaki dijatuhi hukuman denda RM600 atau sepuluh hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Ho Boon Ping, 54, yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Lelaki dari Batu 5, Jalan Penrissen itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 29 September 2021, sekitar jam 2.30 petang di kedai kenderaan terpakai di Batu 16, Jalan Kuching-Serian di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 Akta sama.

Seksyen berkenaan membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis membuat pemeriksaan di kedai tertuduh atas ketidakpatuhan pada syarat lesen perniagaan di bawah Akta Barang Lusuh 1946. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh gagal mempamerkan lesen perniagaan barang-barang lusuh.

Tertuduh juga dilaporkan mengaku kedai tersebut kini sedang dalam proses permohonan lesen, namun permohonan tertuduh belum diluluskan oleh pihak bertanggungjawab. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.