KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan 2022 hari ini menyaksikan orang ramai yang hadir ke Dataran Merdeka terpukau dengan acara kemuncak pertunjukan aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Aksi terbang lintas kira-kira lapan minit itu menerima tepukan, sorakan serta lambaian daripada pengunjung sebagai tanda penghargaan selain tidak ketinggalan mengeluarkan telefon dan kamera masing-masing bagi mengabadikan aksi menarik tersebut. 

Buat pertama kalinya dalam Sambutan Hari Kebangsaan, segmen pertunjukan udara tidak disekalikan dengan kontinjen berjalan lalu bagi membolehkan penonton memberi fokus kepada setiap aset yang berjalan lalu seterusnya dapat menyaksikan terbang lintas hormat dan aksi pesawat di udara dengan lebih jelas dan terperinci.  

 Pesawat Hawk 108 dan 208 sebanyak 4 unit melintasi di ruang udara pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar BERNAMA

Lebih menarik segmen itu dikendalikan sendiri oleh komentator daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapt Aslam Hariri Abdul Rashid dan Lt Nurshahira Nazarudin. 

Segmen pertunjukan udara itu melibatkan pesawat pejuang, pesawat angkut dan helikopter antaranya Sukhoi SU 30 MKM, F-18D Hornet dan B.A.E Hawk serta pesawat angkut A400M dan C130, helikopter EC 725AP, AW 109, MD 530G, FENNEC, AW139, AW 189 dan Mi 17. 

Helikopter kontinjen keselamatan mendahului lintas hormat udara pelbagai agensi pada pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar BERNAMA

Sesi terbang lintas itu dimulakan dengan formasi penerbangan lima aset TUDM SU-30MKM sebagai  persembahan pembukaan diikuti empat Heli EC 752 AP dan tiga Heli AW139.

Segmen itu diakhiri dengan terbang lintas pesawat pejuang BAE Hawk, formasi VIIC pesawat Sukhoi SU 30 MKM, The Flanker, pesawat F18 D dan The Mighty Hornet milik TUDM. 

Menurut komentator, pesawat pejuang berkenaan berupaya melakukan pelbagai serangan udara seperti pertempuran udara ke udara, udara ke tanah, sokongan dari udara, pengeboman dari udara, peninjauan, perang elektronik dan menggempur pertahanan udara.

Reaksi seorang kanak-kanak pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar BERNAMA

Penyertaan segmen pertunjukan udara pada kali ini menggabungkan kemahiran dan kepakaran ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu pesawat udara milik TUDM, Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia selain pesawat milik pasukan keselamatan dan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. 

Terbang lintas pesawat udara khususnya oleh TUDM adalah acara wajib yang dapat menaikkan semangat dan perasaan bangga rakyat Malaysia kerana memiliki juruterbang berpengalaman dan hebat di awan biru.

Segmen itu memaparkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan TUDM hasil gabungan kemahiran serta kepakaran warganya khas untuk sambutan Hari Kebangsaan 2022. - BERNAMA