Orang ramai yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pagi ini. -Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keharmonian Keluarga Malaysia dan keterujaan jelas terpancar di wajah ribuan individu pelbagai lapisan umur, bangsa dan latar belakang yang membanjiri Dataran Merdeka, bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Manifestasi tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan hari bersejarah tahun ini cukup bermakna dalam menzahirkan kesyukuran dan rasa bangga masyarakat majmuk negara ini yang beramai-ramai berhimpun di lokasi utama perarakan dan perbarisan seawal 4.30 pagi untuk menyaksikan acara itu.

Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati tema sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme, kebersamaan dan kesepaduan memeriahkan acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-warni dan besar-besaran.

Jalur Gemilang diarak masuk sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri di Padang Merdeka hari ini. - Gambar BERNAMA

Setelah dua tahun disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19, acara perbarisan dan perarakan oleh hampir 20,000 peserta pelbagai kontinjen tahun ini diadakan gilang-gemilang yang mempamerkan komponen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia dan pertunjukan udara. 

Acara sambutan yang melibatkan sejumlah 369 aset darat dan 68 aset udara serta 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, orang ramai disajikan dengan dendangan lagu-lagu patriotik, diiringi Orkestra RTM pimpinan Datuk Mokhzani Ismail, yang julung kali terlibat dalam acara bersejarah itu. 

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menaiki Kereta Penarik Diraja dari Bank Negara ke pentas utama sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar BERNAMA

Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menaiki Kereta Kuda Diraja, satu penampilan unik berbeza daripada kelaziman tahun-tahun sebelum ini. 

Kereta Kuda Diraja kali terakhir digunakan pada 17 tahun lepas semasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2005.

Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat helikopter melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

Anggota Angkatan Tentera Darat dari Unit 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) melakukan tembakan meriam kehormat sebanyak 14 das bagi melambangkan 14 buah negeri dalam Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar BERNAMA

Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, empat menteri kanan dan menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan menghadiri sambutan hari bersejarah itu. - BERNAMA