Oleh Abang Median Abang Said

Konsep SufismeSEBAGAI suatu peristilahan, secara terminologi, definisi ‘sufisme’ itu sendiri memperlihatkan kepelbagaian tafsiran antara para ahli, sarjana atau pengkaji. Ada pandangan yang menegaskan bahawa perkataan ini berasal daripada istilah yang dikonotasikan dengan ahlu suffah, yakni satu kumpulan sahabat pada zaman Rasulullah SAW yang hidupnya diisi dengan ‘penyepian diri’ di serambi-serambi masjid dan pengabdian kepada yang Esa.      Dalam kitab Adab al-Lughah al-‘Arabiyyah, perkataan “sufi” dirujuk kepada istilah bahasa Yunani, iaitu saufi yang merujuk kepada kebijaksanaan. Sementara itu, menurut Junaid al-Baghdadi yang dikenali sebagai ‘Bapa Tasawuf Moden’, pengertian sufi secara istilah merujuk kepada pembersihan hati dan apabila dikaitkan dengan sastera sufistik, pengertiannya akan selari dengan wahyu Ilahi seperti yang teriluminasi dalam firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 110 yang berbunyi:

“Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk menyeru kepada kebaikan (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) serta beriman kepada Allah.”

     Terhadap ayat ini, Kuntowijoyo mentafsirkan amar makruf sebagai satu ikhtiar pemanusiaan dan nahi mungkar sebagai pembebasan daripada belenggu dunia dan kezaliman, sedangkan beriman kepada Allah ialah proses penghayatan teologis atau transendensi diri.     Menurut Ismail R. al-Faruqi dan Louis Lamya al-Faruqi, sufisme memberi corak idea yang tersendiri sekali gus bertanggung jawab atas warisan besar berupa sastera, baik dalam bahasa Arab mahupun bahasa Muslim lainnya. Sastera sufi merupakan varian daripada sastera keagamaan tetapi dalam makna yang lebih eksklusif kerana bersifat lebih spesifik berlandaskan kepada konsep sufisme, tasawuf, esoterisme atau mistik Islam.    Dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional, karya-karya sufi dapat dilihat pada karya-karya Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Abd. Rauf Singkel dan lain-lain. Di Malaysia, terutama sekali di Bumi Kenyalang, unsur-unsur sufi ini dapat dikesan pada puisi-puisi mutakhir Abizai, termasuk dalam Kumpulan Puisi Merdeka Burung terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2016. 

Unsur-unsur Sufistik dalam Tebaran SimbolismeSepenuhnya atau sebahagiannya, merenangi sungai makna sajak-sajak Abizai dalam dingin tasawuf, mahu tidak mahu akan melibatkan dunia sastera dalam tradisi sufi itu sendiri. Walaupun tidak menyingkap berbagai-bagai misteri kesufian, namun karya-karya sastera sufi akan menjadi dasar pertimbangan estetik yang signifikan.      Terdapat banyak diksi dan bentuk perlambangan yang sering kali muncul dalam sebahagian besar sajak Abizai sehingga menciptakan tipikal sastera sufistik. Kesimpulan ini diperoleh bukan daripada kesan sekilas yang dikesan secara intuitif tetapi lebih kepada kajian komparatif dengan sajak-sajak para penyair sufistik klasik. Diksi dan bentuk-bentuk perlambangan yang dimaksudkan menampakkan pemanfaatan metafora alam (kebendaan) seperti “burung”, “laut”, “perahu”, “cahaya”, “buah”, “matahari”, “daun”, “gua”, “bulan” serta beragam personifikasi seperti “kekasih”, “penyair” dan “cinta”. Diksi dan bentuk-bentuk perlambangan tersebut tampak bertebaran dalam larik-larik sajak Abizai, terkadang berulang digunakan demi mencapai efek estetik untuk memberi penekanan makna pengucapan puitik yang mengacu pada estetika sastera sufi yang dengan sedar telah menjadi pilihan jalur kepenyairannya.     Metafora burung merupakan diksi dan motif perlambangan yang paling digemari oleh Abizai sehingga dijadikan sebagai judul kumpulan puisinya. Simbol “burung” bukanlah hal baharu dalam tradisi sastera sufistik, lebih-lebih lagi jikalau merujuk tradisi sastera sufi sebagai hipogramnya. Penyair mengungkapkan pengalaman batin dan renungan metafiziknya sebagai suatu “pengembaraan” transendental dalam rangka mencapai tangga spiritual tertinggi persis kehidupan burung-burung yang mengembara tanpa jemu.       “Burung” melalui sajak “Merdeka Burung” merujuk kepada jiwa manusia dalam pengembaraan transendentalnya dan pencarian teologis dalam mencapai kebersamaan Ilahi dengan Pencipta. Abizai melalui sajak ini ingin memperlihatkan bahawa metafora “burung” memiliki kandungan semantik yang bersifat kontekstual dan kondisional seperti yang dilarik dalam rangkap ini: di alam luar / biarpun tanpa pagar / ada penjara / yang mengepung jiwa burung / ke dasar hubud dunia / di negeri sangkar / burung puas menikmati cinta / tanpa godaan / serakah nafsu yang tegar. Metafora “burung” mengisyaratkan penjelajahan metafizik dalam mendepani persoalan duniawi yang melekakan. Manusia perlu memagari jiwa dengan iman dalam kebebasan dunia yang hilang sempadannya hingga manusia sentiasa terkepung oleh gelodak nafsunya sendiri melalui permainan licik duniawi. Metafora “negeri sangkar” dalam sajak ini merupakan elemen tasawuf, iaitu dengan mengintimi kesunyian untuk memisahkan diri daripada godaan nafsu yang mengasak. Sebagaimana terungkap lewat larik – burung puas menikmati cinta / tanpa godaan / serakah nafsu yang tegar – menunjukkan penyerahan diri yang tulus untuk menemui ruang katarsis diri dengan mendekati Ilahi di “negeri sangkar”.    Gambaran yang hampir sama tampak juga dalam sajak “Bayangan Burung” tatkala penyair merasakan kesia-siaan mengejar kewajipan dunia yang hanya sementara. Imam Hassan al-Basri menjelaskan bahawa dunia hanyalah bayang-bayang dan khayalan sebelum menemui dunia hakiki, iaitu akhirat. Perkataan “Burung” dalam sajak ini yang merupakan metafora kepada kebebasan manusia memerlukan “dahan” yang kuat yang merujuk kepada iman, iaitu tempat bertautnya prinsip kehidupan.     Kesedaran eksistensial juga terungkap dalam sajak “Menyediakan Sayap dalam Senyap”. Dalam sajak ini, penyair menyatakan perasaan terima kasihnya tatkala ilmu yang diperoleh menjadi sayap untuk mengintimi sunyi menemui pencipta di puncak gunung yang menunjukkan tingginya harkat martabat ilmu keagamaan. Penyair menggunakan simbol “gua” untuk menunjukkan gelapnya hati manusia jikalau tidak disuluh dengan cahaya ilmu untuk membuka pintu rahsia Ilahi di tempat yang sunyi: memimpinku ke muka gua / dengan suluhan cahaya ilmu / menerangkan gelap serba tak tahu / mengetuk pintu pemilik rahsia / berharap sendiri dapat berjumpa.     Melalui sajak “Hanyalah dengan Cinta”, penyair melontarkan tentang pengembaraan batin mencari cinta untuk masuk dalam kebersamaan Ilahi yang mesra. Dalam pengembaraan tersebut, tidak semua menemui hasrat yang diingini kerana ada antaranya yang tersasar arah dengan haruman godaan dalam perjalanan menemui Pencipta. Manusia sentiasa diuji untuk menemui “taman cinta” seperti menangkap irama syahdu melalui alunan zikir yang dialunkan. Dengan lantunan rasa cinta itulah akan dapat dirasai getar sukma tatkala menyeru nama “Kekasih Utama” untuk menemui mutiara berharga dalam tiram rahsia yang hanya dapat dirasai oleh golongan yang melihat dengan mata hati yang digambarkan penyair seperti berikut: memasuki taman cinta / rasa menjelma rama-rama / hinggap di kelopak sukma / rasa meresap ke segenap udara / menakluki setiap suasana / dengan taat erat dan rintih putih / dapat kaukenal asal cinta / yang paling jernih / dapat kaukenal pemberi rasa / yang paling kasih.    Sama seperti karya-karya penyair sufi seperti Sa’di, Aththar dan lain-lain, Abizai juga menggunakan metafora “cahaya” untuk menunjukkan hidayah, kesedaran dan ilmu. Melalui sajak “Dua Cahaya”, penyair menjadikan diksi itu sebagai motif simbolik tentang Nur Muhammad seperti firman Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 15 yang bermaksud:“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan.Menurut Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri, maksud cahaya dalam ayat ini ialah Rasulullah SAW, sebagaimana al-Quran yang diturunkan, juga merupakan cahaya. Maka, Nabi Muhammad SAW ialah nabi pembawa cahaya dan rasul pembawa hidayah. Apabila menyentuh mengenai Nur Muhammad, Ibnu Abbas radiallahuanhu berkata, roh Nabi SAW sudah menjadi cahaya di hadapan Allah selama dua abad sebelum Adam diciptakan. Cahaya itu memuji Allah dan para malaikat pun memuji dengan pujiannya. Biarpun terdapat khilaf antara ulama dalam perkara tersebut seperti yang terdapat dalam kitab Soal Jawab A-Z Tasawuf dan kertas kerja Prof. Dr. Umar Hasyim yang bertajuk al-Nur al-Muhammadi, namun dasar pemikiran sufistik seperti itulah yang mengilhami Abizai sehingga menghasilkan susunan kata: Sebelum dunia bernama / cahayanya telah dicipta / menjadi titik mula / kepada kejadian segala. Sajak ini jikalau dibaca secara harfiah, pembaca tidak akan dapat mengesan ketinggian ilmu agama yang ingin disampaikan oleh penyair melalui susunan kata-kata yang indah dan mendalam maknanya.     Melalui sajak “Rindu Pungguk”, pada lapisan makna yang pertama seolah-olah penyair memperkatakan tentang rasa cinta dan rindu antara kekasih. Namun secara semantiknya, penyair memperkatakan rasa cinta kepada Ilahi melalui pesona cahaya pedoman dan keimanan. Menurut Ali ibn Utsman Hujwiri, rindu manusia kepada Tuhan ialah kualiti yang mewujudkan diri dalam jiwa orang soleh dalam bentuk pujian dan pengagungan. Kerinduan itu tergambar lewat metafora “pungguk” dan “bulan” yang menggambarkan kecintaan pada Ilahi yang mendalam hingga sanggup berjaga malam untuk berzikir dan bertasbih mengingati yang Maha Kuasa. Rasa keinsafan yang tumbuh dan membesar dalam jiwa terpancar melalui simbol “cahaya” seperti yang dilarik oleh penyair dalam rangkap kedua: cahaya merayap di muka / cahaya meresap di jiwa / cahaya di lihat di merata-rata / cahaya mengisyaratkan ada.    Dalam khazanah sastera sufi, penggunaan metafora dari dunia laut juga bukan sesuatu yang baharu seperti yang digunakan oleh penyair-penyair sufi klasik Timur Tengah. Bahkan, penyair sufi agung Melayu seperti Hamzah Fansuri juga menggunakan metafora yang serupa secara eksploratif seperti dalam “Syair Perahu” yang telah dikupas secara rinci oleh Braginsky melalui aspek lokal. Abizai melalui sajak “Menambatkan Perahu” juga cuba mengaplikasikan pengembaraan transendental dengan menggunakan simbol tersebut, namun mengupasnya secara universal.     Melalui perspektif sufisme, metafora “laut” memberikan tanda tentang kekuasaan dan rahmat Allah yang terlalu luas, dinamik dan penuh dengan gelombang cabaran yang memungkinkan seorang ahli sufi bersatu dengan yang Maha Esa. Dalam melayari “dunia transenden”, perahu dalam sajak ini menjadi penghubung yang merujuk kepada diri seseorang. Lebih khusus lagi, pengertian “diri” lebih merujuk kepada aspek kejiwaan tentang keperluan mengenali isi hati sendiri untuk mengakrabkan diri dengan Ilahi. Dalam mengharungi pancaroba kehidupan, seseorang yang tidak tahan dengan amukan keras dugaan perlu kembali ke “pangkalan” atau kembali ke dalam diri supaya imannya mampu ditambat dengan tali iman. Perkara ini dapat dihayati melalui larik-larik puisi “Menambatkan Perahu” melalui rangkap kedua: akan tiba waktunya / selepas diasak alun dan taufan / kedengaran suara mendesakmu / menambatkan kembali perahu / di pangkalan.    Kekuatan sentuhan sufistik yang mengambil dunia laut sebagai motif perlambangan yang sarat menyuarakan misi pelayaran transendental termasuklah sajak “Lautan Rahmat”. Sajak ini menggambarkan penyesalan terhadap dosa-dosa lalu yang terlalu banyak. Gambaran optimisme dalam pencarian teologi dan pengembaraan metafizik disebabkan rahmat Tuhan yang sentiasa mengampuni kelemahan dan kelalaian makhluk-Nya disuarakan dalam sajak ini. Ada kesedaran dan kerinduan yang terdetik dalam melalui lautan transedensi daripada kesilapan lalu yang dilakukan – sebuah klise kehidupan manusia yang sering mengulangi kesilapan berkenaan. Sajak pendek ini tetap memberikan pengertian yang luas melalui penyusunan kata-kata yang bersukat: Lautan rahmat-Mu / terlalu pekat dan dalam / tak mampu kusukat dan selam / menenggelamkan dosa-dosaku / yang berkurun terapung / ditiup angin kealpaan.    Kesedaran teologis juga ditemukan dalam beberapa sajak yang menggunakan simbol alam seperti sajak “Daun Kuning” yang memperkatakan tentang kematian yang akan dilalui oleh setiap manusia. Dengan kesedaran yang sedemikian (suatu ungkapan dalam sufisme hanya terlontar dari bibir yang telah mengalami situasi “fana” dalam situasi yang tidak disedarinya), maka meluncurlah karya-karya pengembaraan dalam kehidupan sebelum menemui kematian seperti melalui sajak “Mendaki Bukit”. Sajak ini menunjukkan rasa zuhud dan rendah diri di hadapan Ilahi kerana manusia bukan sesiapa di sisi-Nya. “Pendakian bukit” itu merupakan metafora tentang pengembaraan untuk meningkatkan amalan dan ilmu agama sebagai persediaan pada hari muka seperti yang dilarik oleh penyair: dalam mendaki bukit yang tinggi / berharap bertemu puncak / tempat kumendongak / ke langit biru ilmu hakiki / setelah puas jatuh dan luka / diduga curam dan duri.     Sementara itu, tiga buah sajak Abizai lainnya (masing-masing bertajuk “Jika Kautahu”, “Mengenang” dan “Dia Tidak Mungkin Tertakluk”) merupakan susunan kata yang dibumbui dengan pujian agar Sang Kekasih berempati untuk melimpahkan sinar cinta. Dalam perspektif sufisme, semua ini ditunjukkan melalui amalan-amalan solat, zikir dan ritual keagamaan lainnya. Golongan ini mempunyai kesedaran keagamaan kerana telah dijanjikan oleh Allah dalam Surah al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud: 

 

“Dan mereka yang sungguh-sungguh berjuang demi keredaan, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan). 

Kesedaran demikian dapat dihayati melalui sajak “Jika Kautahu” dalam rangkap terakhir: kenalilah sifatmu yang tiada / pasti dia menolong dengan sifat-sifat-Nya / sedarilah ketidak berdayaanmu yang nyata / pasti Dia membantu dengan Kudrat-Nya.    Dalam mendepani kehidupan masyarakat yang dinamik, eksistensi sastera sufi merupakan sastera kontekstual yang berusaha membentuk “dunia dalam manusia” yang akan mencapah untuk membentuk “dunia luar”. Perkara ini berlandaskan kepada tujuan sastera sufistik dalam membentuk peribadi yang sempurna dengan akhlak yang luhur demi membentuk masyarakat madani (baldatun tahyyibah wa rabbun ghafur) yang mengacu pada doktrin hablun minallah dan hablun minanas. Pendek kata, sastera sufi tidak hanya bersifat individual tetapi juga bersifat universal.      Dalam kumpulan puisi ini terdapat sajak sufistik yang ditulis oleh Abizai yang memuatkan pesan-pesan sosial kemasyarakatan. Berdasarkan renungan filosofinya tentang sosialisasi yang dinamik, kenyataan hidup manusia telah mengetengahkan kritikan-kritikan sosial yang halus dan tersembunyi di balik simbolisme yang digunakan dalam sejumlah sajaknya. Semua ini menjadi lantunan dan cerminan sikap penyair terhadap pelbagai gejolak sosial yang tampak “sakit” menurut ukuran moral. Persoalan tentang ketidakadilan, keangkuhan, penindasan dan pelbagai masalah moral turut menjadi warna dalam sajak Abizai namun tetap tidak terpisah daripada belitan sufistiknya.      Berdasarkan sajak “Janganlah Berhajat”, penyair memberikan kritikan sosial kepada kerapuhan manusia yang tidak menepati janji yang akan mengundang rasa kecewa. Sebagai manusia, harapan itu perlu diserahkan kepada Yang Maha Kuasa seperti kata penyair dalam sajaknya: yang memberi dengan bijaksana / menangguhkan dengan hikmah / menolak dengan pengetahuan.       Persoalan tentang fitnah terutama melalui media sosial dengan perkongsian berita yang tidak benar mendapat perhatian penyair melalui sajak “Usah Kaupetik”. Sebagai karya sufistik, persoalan ini digarap oleh penyair dengan halus dan tetap kekar dengan pesan sufistik melalui susunan diksi yang menarik:Usah kaupetik / buah yang belum ranum / untuk dinikmati mereka / yang tak kenal rahsia rasa / kerana yang nanti dikunyah / hanyalah keliru berempah / dan bakal dimuntahkan Kembali / dengan fitnah yang basi.    Selanjutnya, lewat sajak “Racun”, penyair mempersoalkan tentang kredibiliti perkongsian ilmu daripada golongan yang bukan ahli tetapi menampakkan kebijakan dari segi luaran sahaja. Golongan ilmuwan media sosial atau ilmuwan segera ini sememangnya akan menjadi “racun” seperti yang ditulis oleh penyair: berhati-hatilah anakku / waktu menghirup segar ajaran / air yang kelihatan tenang / menyimpan kuman tercerdik / menyebarkan kesesatan fasik / di sebalik rupa yang jernih / mencemarkan keluhuran hati / dan rohani.

PenutupTuntasnya, kumpulan puisi Merdeka Burung ialah karya yang mencerminkan gagasan pemikiran sufi yang menjadi cabang pemikiran Islam yang turut berperanan mendekatkan diri dengan Ilahi menuju jalan hakikat. Melalui himpunan sajak tersebut, terdapat keselarian tentang wujudnya penjelajahan yang luas untuk memberikan kesan hakikat daripada simbol semantik. Malahan sajak-sajaknya bukan hanya menonjolkan individual yang memperkatakan pergolakan dalam diri tetapi juga mencapah kepada perkara-perkara universal sebagai kritikan sosial. Kumpulan Puisi Merdeka Burung persis penjelajahan ke langit hakikat untuk melihat peristiwa yang berlaku di bumi.     Ya, melihat dari mata burung, bukannya dari dalam tempurung!

Rujukan
Abdul Hadi W.M.,1999. Kembali ke Akar Kembali ke Sumber: Esai-esai Sastra Profetik dan Sufistik. Jakarta: Pustaka Firdaus. Abizai, 2015. Merdeka Burung. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.At-Tatazani, Abu al-Wafa’ al-Gahnimi, 1985. Sufi dari Zaman ke Zaman. Bandung: Pustaka Bandung.Jamal T. Suryanata, 2010. Tragika Sang Pecinta: Gayutan Sufistik Sajak-sajak Ajamuddin Tifani. Karangnongko: Akar Indonesia.