Awang Tengah tertarik dengan produk-produk dihasilkan ahli-ahli KUWIN yang disampaikan sebagai cendermata kepada beliau oleh Norlela sambil disaksikan tetamu lain.

SKMS salur bantuan RM54.7 juta melibatkan 1,756 peniaga mikro, kecil dan usahawan B40 

"Secara keseluruhan bagi tempoh 2021 hingga suku kedua 2022, kementerian saya membantu lebih 15,000 usahawan melalui bantuan kewangan, pembangunan kapasiti dan program promosi produk."

Datuk Amar Awang Tengah Ali HasanTimbalan Premier Sarawak 

Oleh Clare Cinderella 

MIRI: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) berjaya membantu lebih 15,000 usahawan negeri ini mengharungi cabaran ekoran pandemik dan menghadapi pasca COVID-19 memulihkan ekonomi negeri.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata menerusi program diperkenalkan MINTRED, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) berjaya menyalurkan bantuan berjumlah RM54.7 juta melibatkan 1,756 peniaga mikro, kecil dan usahawan B40 seluruh negeri ini. 

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta diluluskan untuk skim itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 2020 ketika negara berdepan pandemik COVID-19. 

"Secara keseluruhan bagi tempoh 2021 hingga suku kedua 2022, kementerian saya membantu lebih 15,000 usahawan melalui bantuan kewangan, pembangunan kapasiti dan program promosi produk," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Niah di sini pada Sabtu. 

"Di bawah SKMS (program diperkenalkan MINTRED) diperuntukkan di bawah RMK12 sejumlah RM100 juta, setakat ini kita telah pun berjaya menyalurkan bantuan berjumlah RM54.7 juta melibatkan 1,756 peniaga mikro, kecil dan usahawan B40," jelas beliau. 

Awang Tengah menjelaskan dalam RMK12, sejumlah RM20 juta peruntukan tambahan diluluskan untuk pelaksanaan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS). 

"Setakat ini, kita telah pun berjaya menyalurkan bantuan berjumlah RM33.01 juta yang memberi manfaat kepada seramai 436 usahawan.

"Kita turut membantu mereka yang terlibat bidang perusahaan secara tidak formal iaitu kumpulan tiada lesen, tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan kita bantu mendaftarkan perniagaan mereka supaya dapat lihat jumlah, data dan menyalurkan bantuan sewajarnya," jelasnya. 

Awang Tengah berkata, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM10 juta membantu graduan masih belum ada pekerjaan menerusi program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK). 

"GERAK merupakan bantuan dalam bentuk geran untuk graduan berminat memula dan mengembangkan perniagaan dan sehingga kini seramai 431 graduan dibantu dengan nilai kelulusan berjumlah RM3.79 juta. 

"Manakala bagi program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), peruntukan berjumlah RM10 juta diluluskan bagi pelaksanaan di bawah RMK12. 

“Setakat ini, kementerian saya membantu seramai 655 usahawan berkemahiran teknikal dan lulusan vokasional dengan jumlah geran RM5.66 juta," katanya. 

Sementara itu, program 'Go Digital' merupakan bantuan geran bagi usahawan terlibat perniagaan secara dalam talian atau 'e-commerce'. 

Setakat ini, 600 usahawan mendapat bantuan dengan nilai RM6 juta. Di bawah RMK12, sejumlah RM20 juta telah diluluskan untuk pelaksanaan program itu.

Sehubungan itu, Awang Tengah turut menyeru usahawan AIM khususnya di Niah supaya mempertingkat kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang digital bagi membolehkan mereka menerokai ekonomi digital dan merebut peluang-peluang besar yang wujud. 

"Sarawak bertuah kerana kerajaan negeri amat prihatin terhadap rakyat terkesan pandemik COVID-19 dengan memperkenal Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dengan peruntukan lebih RM5.7 bilion di bawah Pakej BKSS 1.0 hingga 8.0 membantu rakyat terjejas termasuk perusahaan kecil dan dederhana (PKS)," katanya. 

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua itu turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM40,000 daripadanya dan RM60,000 daripada empat wakil rakyat lain iaitu Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah (RM15,000), Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus (RM15,000), Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat (RM15,000) dan Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni (RM15,000).

Jumlah peruntukan diumumkan itu memenuhi jumlah dipohon oleh Kelab Usahawan Wanita Ikhtiar Niah (KUWIN) sejumlah RM100,000 untuk menampung keperluan dan aktiviti keusahawanan kelab tersebut. 

Turut hadir Pengurus Kanan AIM Wilayah Sarawak Haryati Dahari serta Pengerusi KUWIN Norlela Omar.