Uggah (tengah) beserta rombongan merakamkan gambar bersama pihak pengurusan pelabuhan sejurus mengadakan lawatan kerja ke pelabuhan berkenaan, pada Jumaat.

BINTULU: Pelabuhan Samalaju bakal memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan di wilayah tengah Sarawak khususnya di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) yang sedang berkembang pesat pada masa sekarang, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bagi tujuan itu katanya, pihak pengurusan pelabuhan harus mengatasi semua isu serta permasalahan berkaitan kapal kargonya bagi perkhidmatan yang lebih efektif pada masa hadapan.

"Pelabuhan Samalaju harus berusaha dalam menambahbaik mutu perkhidmatan selain menaiktaraf infrastruktur yang diperlukan bagi memastikan ianya sentiasa menjadi pilihan penggiat industri di kawasan berkenaan dari masa ke masa," jelas beliau.

Uggah berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke pelabuhan terbabit pada  Jumaat.

Samalaju katanya merupakan salah sebuah zon perindustrian yang terkemuka di negeri ini yang mana rata-rata penggunanya merupakan penggiat industri atau pelabur dari luar negara.

Bagi tujuan itu katanya, tahap perkhidmatan pelabuhan ini harus ditingkatkan bagi memastikan ianya terus menjadi pilihan setiap kilang-kilang perindustrian di sini dalam setiap urusan perkagoan, urusan import eksport dan sebagainya.

"Jadi bagi menarik setiap pelabur khususnya pelabur asing untuk terus menggunakan perkhidmatan perkapalan di Pelabuhan Samalaju, pengurusan pelabuhan harus meningkatkan tahap perkhidmatan ke arah lebih progresif selaras dengan kualiti pelabuhan bertaraf antarabangsa," ujar beliau.

Justeru itu tegasnya, perkhidmatan pelabuhan yang efisyen amat perlu bagi memenuhi permintaan semasa penggiat industri di kawasan Samalaju sekaligus menampung keperluan semasa selaras dengan usaha bagi menjadikan negeri ini mencapai status pendapatan tinggi menjelang 2030.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Mohammad Medan Abdullah antara yang hadir.