Milner (kanan) menyuruh Nunez meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Crystal Palace di stadium Anfield, kelmarin. — Gambar AFP

LIVERPOOL: Liverpool bangkit dengan 10 pemain untuk mengekang kekalahan pertama Liga Perdana di hadapan penyokong Anfield sejak 2017 selepas Darwin Nunez dibuang padang ketika seri 1-1 dengan Crystal Palace semalam.

Jaringan sensasi Luis Diaz menyelamatkan satu mata buat The Reds selepas Wilfried Zaha membuka jaringan untuk Palace pada separuh masa pertama.

Hanya dua perlawanan dalam musim ini, Liverpool mengekori pendahulu Manchester City yang berkelebihan empat mata.

Nunez telah menjaringkan gol dalam dua penampilan pertamanya menentang City dalam Perisai Komuniti dan menyelamatkan satu mata sebagai pemain gantian dalam seri 2-2 di Fulham hujung minggu lalu.

Tetapi pemain Uruguay itu telah mengasari Joachim Andersen sejurus sebelum sejam, meninggalkan pasukannya dengan cabaran yang sukar dalam memburu kejuaraan.

“Dia sendiri tahu itu sekarang,” kata Jurgen Klopp apabila ditanya sama ada Nunez telah mengecewakan rakan sepasukannya.

“Sudah tentu dia dilayangkan kad merah. Dia diprovokasi tetapi dia tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian.”

Liverpool bangkit hasil jaringan penyamaan cemerlang Diaz dan Klopp berkata dia sangat bangga dengan reaksi skuad 10 pemain itu selepas minggu sukar akibat krisis kecederaan awal musim.

Roberto Firmino, Thiago Alcantara, Diogo Jota, Joel Matip dan Ibrahima Konate semuanya diketepikan, manakala Joe Gomez hanya mampu duduk di bangku simpanan.

Nat Phillips terpaksa membuat penampilan pertamanya dalam Liga Perdana sejak hari terakhir musim 2020/2021 sebagai pemain pertahanan tengah, manakala Klopp tidak mempunyai pilihan untuk menghidupkan serangannya pada lewat permainan.

“Sebenarnya saya berasa bangga,” tambah Klopp. “Dengan persiapan yang kami lakukan minggu ini, ia sukar dipercayai. 

Ia seperti ada ahli sihir di dalam bangunan ini, setiap kali ada orang lain akan menghadapi masalah.”

Klopp telah mengecam pasukannya untuk permulaan perlahan yang menyebabkan mereka kehilangan dua mata di Fulham yang baru dinaikkan divisyen pada hujung minggu pembukaan musim ini.

Kali ini Liverpool keluar dari perangkap, tetapi gagal mengubah penguasaan awal mereka menjadi gol.

James Milner, Nunez dan Mohamed Salah semuanya mensia-siakan peluang besar, manakala rembatan Harvey Elliott yang menghala ke gol berjaya ditepis Andersen.

Palace hampir tidak bermain di separuh padang lawan dalam separuh jam pertama, tetapi pelan permainan Patrick Vieira berhasil dengan sempurna untuk mencipta gol pembukaan.

Eberechi Eze menyelinap keluar dari asakan Liverpool, mengumpan ke belakang untuk Zaha memecahkan perangkap ofsaid dan melencong melepasi Alisson Becker.

Liverpool sepatutnya boleh menyamakan kedudukan sebelum separuh masa apabila Nunez melepaskan peluang keemasan dan bola melantun dari tiang.

Mimpi ngerinya di tempat sendiri  bermula pada minit ke-57 apabila dia menyelar Andersen dengan pukulan kepala yang juga menyebabkannya bakal terlepas perlawanan akan datang menentang Manchester United, Bournemouth dan Newcastle.

Di sebalik kelemahan tenaga mereka, Liverpool enggan melepaskan rekod tanpa kalah di tempat sendiri mereka.

Diaz mendahului kebangkitan dengan larian persendirian dengan penyudah bak anak panah yang tepat ke sudut jauh untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Kad merah itu tidak menghalang Palace daripada rancangan mereka untuk bertahan dan melakukan serangan balas, dan ia hampir berjaya.

Zaha mampu memenangi perlawanan itu namun tendangannya hasil hantaran silang Cheick Doucoure terkena tiang 12 minit sebelum perlawanan tamat. — AFP