Pasukan JKA ketika dinobat juara Kejohanan Badminton Antara Jabatan PMU.

MUKAH: Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) dinobat sebagai juara Kejohanan Badminton Antara Jabatan Politeknik Mukah (PMU) anjuran Kelab Sukan Rekreasi Politeknik Mukah (KESURES) dengan kerjasama Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan PMU baru-baru ini.

Pasukan Admin pula muncul naib johan sementara Jabatan Kejuruteraan Mekanikal di tempat ketiga.

Kejohanan tiga hari itu berlangsung di Pusat Sukan PMU di mana penutupan rasmi kejohanan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan Timbalan Pengarah Akademi Iskandar Reduan.

Semua pemenang masing-masing menerima piala, pingat dan hamper.

Antara objektif penganjuran kejohanan adalah untuk memupuk semangat cintakan aktiviti yang sihat dalam kalangan kakitangan PMU.

Ia juga bagi merapatkan hubungan antara kakitangan PMU yang terdiri daripada pelbagai gred perkhidmatan, latar belakang dan jabatan. Antara lain kejohanan seumpama itu juga salah satu bentuk promosi kepada ahli baharu yang bakal menyertai KESURES serta untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan kakitangan PMU untuk diketengahkan dalam sebarang kejohanan luar. Iskandar dalam ucapan penutupannya berkata, sukan adalah salah satu bentuk aktiviti riadah yang baik dan mampu menyihatkan tubuh. 

"Melalui acara sebegini ia mampu memupuk kesedaran tentang pentingnya beriadah walaupun sibuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab hakiki di pejabat," katanya.

Secara tidak langsung katanya, bukan sahaja semangat kesukanan yang dapat kita tonjolkan bahkan nilai-nilai kesepakatan, kebersamaan dan kekitaan turut dapat dilihat sepanjang kejohanan berlangsung.

Sebanyak lapan pasukan merangkumi sekitar 160 peserta daripada pelbagai jabatan, unit serta gabungan menyertai kejohanan tersebut.

Turut hadir pada majlis penutupan ialah Timbalan Pengarah Sokongan Akademik merangkap Penasihat KESURES Awang Annuar Awang Mansor, Presiden KESURES Mohd Fadzli Ahmad, Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Fairose Mohtar serta Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah Bonnie Manau Michael Amerikan.