SIBU: Seramai 197 perenang akan berentap pada Kejohanan Renang Antara Sekolah Menangah dan Rendah Bahagian Sibu di Kolam Renang Bukit Lima pada 18 dan 19 Ogos ini.

Presiden Persatuan Renang Amatur Sibu (SASA) Tony Hii berkata, para peserta adalah dari 20 sekolah iaitu lapan sekolah menengah, 11 sekolah rendah dan sebuah sekolah antarabangsa.

"Kita berharap pertandingan ini akan menjanjikan saingan yang sengit buat para perenang kita di bahagian Sibu," katanya pada sidang media pada Isnin.

Hii (empat kanan), Ong (lima kanan) dan yang lain merakamkan kenangan bersama gegantung Kejohanan Renang Antara Sekolah Menangah dan Rendah Bahagian Sibu yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Ogos ini.

Kejohanan ini merupakan anjuran bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang, Pejabat Pendidikan Daerah Sibu dan SASA.

Kejohanan itu dibahagikan kepada lima kategori untuk lelaki dan wanita iaitu Kumpulan A untuk 20 tahun ke bawah, Kumpulan B (15 tahun ke bawah), Kumpulan C (12 tahun ke bawah), Kumpulan D (10 tahun ke bawah) dan Kumpulan E (lapan tahun ke bawah).

Juara keseluruhan bagi kategori junior lelaki akan menerima Piala Pusingan Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai, manakala juara keseluruhan junior perempuan membawa pulang Piala Pusingan Dato Sri Dr Yong Sau Kan.

Bagi juara keseluruhan kategori senior lelaki dan perempuan, masing-masing akan menerima Piala Pusingan SASA.

Menurut Hii, bagi mana-mana sekolah yang berjaya memenangi piala pusingan tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut, piala tersebut akan kekal menjadi milik mereka.

Beliau berharap kejohanan itu akan memberi pendedahan baik kepada peserta dan percaya perenang akan berdisiplin dan berkelakuan baik sepanjang kejohanan berlangsung.

"Mengambil bahagian pada kejohanan ini juga boleh dianggap satu kemenangan, jadi berusaha keraslah bagi mengharumkan nama sekolah," katanya.

Sementara itu, menurut pengerusi penganjur bersama Ong Yew Ming, acara penangguhan kejohanan dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang.