Jensen (kiri) menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brentford dan Manchester United di Stadium Komuniti Brentford, kelmarin. — Gambar AFP

MANCHESTER: Manchester United dimalukan 0-4 oleh Brentford untuk menghuni tangga tercorot Liga Perdana Inggeris sementara kelab jirannya, Manchester City membelasah Bournemouth 4-0 pada Sabtu.

Arsenal juga meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas Gabriel Jesus membantu pasukan baharunya itu menewaskan Leicester City 4-2.

Suhu tinggi di seluruh England bermakna rehat pertengahan separuh masa perlawanan diperkenalkan pada semua perlawanan Liga Perdana hujung minggu ini, ketika mana United  mengalami kecairan dalam separuh masa pertama di barat London untuk meneruskan mimpi ngeri Erik ten Hag sebagai pengurus baharu United.

United ketinggalan 0-4 selepas 35 minit permainan apabila gol Josh Dasilva, Mathias Jensen, Ben Mee dan Bryan Mbuemo menamatkan cabaran awal United.

“Saya benar-benar minta maaf kepada penyokong, kami mengecewakan mereka,” kata Ten Hag.

“Saya fikir Brentford lebih bersemangat dan kami bolos gol kerana kesilapan individu. Anda boleh mempunyai satu pelan tetapi pelan itu masuk terus ke dalam tong sampah.”

Cristiano Ronaldo diturunkan dalam kesebelasan utama United selepas bermula di bangku simpanan ketika tewas 1-2 kepada Brighton minggu lepas tetapi berbanding menjadi penyelamat United, kehadirannya hanya menambah masalah buat United.

United sekarang sudah tewas tujuh perlawanan liga berturut-turut di tempat lawan, kali pertama ia berlaku sejak 1936.

Di Stadium Etihad, Erling Haaland gagal menjaringkan gol pada penampilan sulung buat Manchester City di tempat sendiri tetapi penyerang antarabangsa Norway itu menunjukkan ada yang lebih menarik berbanding gol dalam permainannya apabila menunjukkan kekuatan sebelum mengumpan bola kepada Ilkay Gundogan untuk membuka jaringan.

Kevin De Bruyne menambah jaringan dengan rembatan cantik dari luar kotak penalti sebelum mengumpan bola kepada Phil Foden untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat.

“Saya fikir kami boleh naik satu tahap,” tegas De Bruyne. 

“Mendahului 3-0 dengan cepat memudahkan rentak kami.”

City mengurangkan asakan selepas rehat namun masih dapat menambah satu lagi gol ketika berbaki 11 minit permainan apabila Jefferson Lerma tertolak bola dari hantaran Joan Cancelo ke pintu golnya sendiri.

Kehadiran Haaland di City adalah salah satu faktor perpindahan Jesus dan penyerang antarabangsa Brazil itu kelihatan pembelian berbaloi buat Arsenal apabila meraikan penampilan sulung di Arsenal dengan menjaringkan dua gol dan dua umpanan gol dan mengekalkan permulaan sempurna Arsenal pada musim ini.

Jesus, yang kerap diturunkan di posisi sayap di City, tetapi diletakkan sebagai penyerang utama di Arsenal ketika dia memburu satu tempat ke dalam skuad  kebangsaan Brazil ke Piala Dunia 2022 akhir tahun ini dengan penampilan lebih kerap di peringkat kelab.

“Saya benar-benar gembira bermain sebagai penyerang utama di Arsenal,” kata Jesus. “Saya tidak gembira di City tetapi saya hanya mahu bermain.”

Pada perlawanan lain, Steven Gerrard memenangi pertembungan pertama dua bekas rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan England, Frank Lampard apabila Aston Villa menewaskan Everton 2-1.

Gol oleh Danny Ings dan Emi Buendia mengurangkan tekanan ke atas Gerrard selepas satu tempoh hanya dua kemenangan dari 12 perlawanan terakhir sejak dari akhir musim lepas.

Bagaimanapun, Villa terpaksa bertahan pada lewat permainan apabila gol sendiri Lucas Digne memberikan harapan kebangkitan buat Everton.

Leeds United terlepas peluang menyertai City dan Arsenal dengan enam mata penuh selepas mensia-siakan pendahuluan 2-0 sebelum seri 2-2 di Southampton.

Brighton dan Newcastle juga gagal meneruskan rentak kemenangan minggu lepas apabila seri tanpa jaringan di Stadium Amex, dengan kedua-dua pasukan mensia-siakan banyak peluang.

Perlawanan di antara Wolves dan Fulham di Molineux juga berkesudahan seri tanpa jaringan selepas Aleksandar Mitrovic gagal menyempurnakan penalti lewat buat Wolves. — AFP