Abang Johari (tengah) merakamkan kenangan bersama kesemua penerima Anugerah. Turut kelihatan Dr Sim (enam kanan), Ting (lima kanan) dan Wong (enam kiri). - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kategori Pembangunan Rumah Mampu Milik yang baru diperkenal sempena Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2022 diberikan kepada syarikat Hong Seng Construction (E.M) Sdn Bhd.

Kategori lain pada Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2022 alah Kediaman Bertanah, Pembangunan Strata, Pembangunan Komersial dan Pelan Induk.

Pengerusi pengelola Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2022 Dato Alex Ting berkata, setiap projek dinilai berdasarkan meritnya sendiri, dengan mengambil kira antara lain tujuan, sasaran pelanggan dan keupayaan untuk bertindak balas terhadap keperluan pasaran.

"Salah satu cara kami mengukuhkan piawaian industri adalah melalui pemeriksaan dari perspektif yang berbeza.

"Lantikan pengadil bebas daripada pelbagai badan profesional mencerminkan komitmen SHEDA terhadap proses adjudikasi yang telus, saksama dan berkesan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan 2022 SHEDA yang dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Rabu.

Majlis anugerah itu antara lain menyaksikan Petra Jaya Properties Sdn Bhd menerima Anugerah Kediaman Bertanah (Medium) dan Musyati Development Sdn Bhd (Anugerah Pembangunan Komersial bagi Pembangunan Bercampur).

Turut menerima anugerah ialah Coramax Sdn Bhd, LaFrowda Properties Sdn Bhd dan Saradise Sdn Bhd. 

Sementara itu, Anugerah SHEDA’s Property Man of the Year 2022 diberikan kepada Dato Bobby Ting merangkumi standard emas pembinaan berkualiti.

Manakala, Anugerah SHEDA’s Property Man of the Year 2021 diberikan kepada Rewi Hamid Bugo dari Petra Jaya Properties Sdn Bhd.

Hadir sama Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Presiden SHEDA Augustine Wong.