Dr Rundi (tiga kiri) memotong kek sebagai simbolik perasmian Agromart Koperasi Petani Bintulu Sarawak Berhad sambil disaksikan Liew (dua kiri), pegawai-pegawai SKM dan tetamu lainnya di Bintulu, hari ini.

BINTULU: Gerakan koperasi merupakan jentera pertumbuhan ekonomi yang mampu merancak dan memperkukuh pelbagai sektor termasuk pertanian dan industri asas tani di negeri dan negara ini. Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sarawak Liew Liuk Chim berkata, kewujudan integrasi rantaian nilai antara peneraju industri serta gerakan koperasi dapat melonjakkan pendapatan dan pengeluaran. 

Justeru katanya, pembukaan Agromart oleh koperasi diharap dapat melaksanakan aktiviti perniagaan dengan lebih tersusun dan berdaya saing khususnya untuk memasarkan hasil tani anggota koperasi.

Beliau berkata, statistik berakhir tahun 2021, terdapat 1,109 koperasi dengan keanggotaan seramai 297,332 orang yang memiliki modal syer atau yuran terkumpul RM199.03 juta dan nilai aset RM636.41 juta dengan pencapaian perolehan berjumlah RM311.10 juta. 

"Ini menunjukan sektor koperasi merupakan satu gerakan yang melibatkan penyertaan komuniti dan mampu menjadi medium membantu transformasi pembangunan sosioekonomi masyarakat," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada perasmian Agromart Koperasi Petani Bintulu Sarawak Berhad di Jalan Sommerville di sini, hari ini.

Liew berkata, bagi gerakan koperasi di Bahagian Bintulu terdapat 92 koperasi dengan bilangan keanggotaan seramai 24,037 orang dan modal syer terkumpul RM4.89 juta dan aset berjumlah RM14.80 juta, manakala prestasi perolehan yang dicatatkan ialah RM16.05 juta. 

Meskipun prestasi pada tahap sederhana katanya, terdapat peningkatan dan perkembangan signifikan dari segi perolehan melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalakan oleh koperasi.

"Saya yakin koperasi-koperasi di Bahagian Bintulu dapat mempelbagai aktiviti ekonomi yang berpotensi meningkatkan pendapatan kepada koperasi, anggota dan komuniti setempat khususnya potensi dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

"Pembukaan Agromart saya percaya akan menjadi satu titik pencapaian yang boleh dibanggakan oleh Koperasi Petani Bintulu Sarawak Berhad untuk terus berkembang pada masa akan datang sekali gus menyeru semua anggota koperasi dan warga tani di sini berurus niaga dengan menghantar hasil tani ke Agromart koperasi ini. 

"Kejayaan serta peningkatan perolehan koperasi akan memberi manfaat dan faedah secara langsung kepada semua anggota," katanya.

Pada masa sama beliau berharap Gerakan Koperasi menjadi lebihi berdaya tahan, berdaya saing, berintegriti, lebih kreatif, menceburi perniagaan bersekala besar, memperkenalkan produk ataupun perkhidmatan baharu yang dapat memenuhi kehendakan pelanggan yang kian berubah.

Katanya, sokongan perlu diberikan ke atas segala usaha Kerajaan untuk membangunkan sektor koperasi supaya gerakan ini mampu memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ekonomi negara dan memberi impak langsung kepada masyarakat khususnya bagi membantu menangani peningkatan kos sara hidup pada masa kini.