Pemain Terengganu FC (TFC) Mohamad Faisal Abdul Halim (kanan) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol semasa menentang pasukan Selangor FC pada saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam tadi. - Gambar BERNAMA

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) mara ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan penalti setelah kedudukan terikat satu sama pada perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, TFC yang dibimbing ketua jurulatih Nafuzi Zain akan berdepan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pasukan kendalian Michael Feichtenbeiner bermula garang dengan melancarkan serangan seawal minit ketujuh ke kubu pertahanan tuan rumah, namun percubaan Nor Hakim Hassan berjaya digagalkan penjaga gol Rahadiazli Rahalim.

Pasukan tuan rumah yang mula mendapat rentak bangkit melakukan serangan balas dan beroleh peluang pada minit ke-18, sayangnya rembatan deras Petrus Shitembi sedikit tinggi melepasi palang.

Walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, Selangor terlebih dahulu mencetak gol pertama pada minit ke-23 menerusi Nor Hakim untuk meletakkan skuad The Red Giants di hadapan.

Pada minit ke-42 skuad Penyu beroleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, malangnya sepakan gunting kapten pasukan Kipre Tchetche pula terkena palang.

Bersambung babak kedua, TFC yang ketinggalan 0-1 melancarkan serangan ke kubu lawan sebaik wisel mula ditiupkan.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila rembatan deras Faisal Halim berjaya menggegar gawang lawan pada minit ke-48 untuk menceriakan lebih 30,000 penonton tuan rumah dan menyamakan kedudukan satu sama.

Sehingga babak kedua berakhir, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan satu sama menyebabkan perlawanan terheret ke masa tambahan.

Pada masa tambahan kedua-dua pasukan melancarkan serangan bertali arus namun gagal meraih gol, justeru membawa perlawanan ke penentuan penalti yang berakhir dengan kemenangan kepada skuad Penyu. - BERNAMA