Persembahan bunga api pada Majlis Penutupan Sukan Para ASEAN Solo 2022 di Stadium Menahan semalam. - Gambar BERNAMA

SOLO (Indonesia): “Terima kasih Indonesia, Chom Reap Sour Cambodia (Helo Kemboja).” 

Sukan Para ASEAN (APG) Ke-11 ditutup secara rasmi oleh Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) di Stadium Manahan di sini malam tadi selepas seminggu aksi sukan yang menghimpunkan atlet-atlet para serantau berlangsung.

Majlis penutupan yang hebat malam tadi dimulakan selepas selesai perbarisan 11 kontinjen mewakili negara-negara ASEAN dengan Kontinjen Malaysia mengenakan pakaian trek dengan jaket memaparkan imej harimau merupakan pasukan keempat dalam perbarisan itu dan mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.  

Dalam acara yang berlangsung selama dua jam itu, 10,000 penonton yang berada di stadium berkenaan dihidangkan dengan persembahan muzik dan kebudayaan yang menonjolkan kepelbagaian dan kekayaan tradisi Indonesia serta artis kontemporari republik itu seperti Andien, Yovie & Nuno dan Yura Yunita.

Jokowi dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada 1,200 atlet yang menyertai temasya sukan itu dan berkata Indonesia berbangga untuk menjadi tuan rumah selama lapan hari kepada golongan atlet kurang upaya dari rantau ini. 

Turut hadir, Wanita Pertama Indonesia Iriana Jokowi, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan Para ASEAN Indonesia (INASPOC) Gibran Rakabuming Raka dan Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Jen Osoth Bhavilai.

Selepas bendera APSF diserahkan kepada wakil tuan rumah seterusnya, Kemboja, satu lagi persembahan hebat disajikan oleh negara itu sebagai tanda selamat datang.  

Kemboja akan menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA dari 5 hingga 16 Mei diikuti dengan APG dari 3 hingga 9 Jun tahun hadapan di Phnom Penh.

Malam penutup itu diakhiri dengan persembahan bunga api yang menarik, menghiasi langit bandar di tengah Pulau Jawa itu sejurus selepas kawah api temasya sukan itu dipadamkan.   

Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet mengakhiri kempen kali ini dengan mengumpul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa untuk menduduki tangga keempat carta pingat.

Tuan rumah, Indonesia seperti dijangka menjuarai secara keseluruhan dengan kutipan pingat 177-144-107 dan ini merupakan kali ketiga ia muncul juara keseluruhan mengulangi kejayaan di edisi Myanmar 2013 dan Kuala Lumpur 2017. Thailand yang mengumpul 113-113-86 pingat and Vietnam (63-58-54) masing-masing di tangga kedua dan ketiga.

Indonesia bersetuju menjadi tuan rumah hanya beberapa bulan sebelum ini selepas tuan rumah 2019 Filipina dan tuan rumah 2021 Vietnam menarik diri daripada menganjurkan temasya sukan itu atas faktor kewangan dan pandemik COVID-19. - BERNAMA