Badang negara Mohammad Aniq (kanan), Muhamad Aznil B(kiri) dan Bonnie (depan) sejurus tiba di KLIA semalam. - Gambar BERNAMA

SEPANG: Kepulangan barisan wira negara yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 disambut dalam suasana meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Ketibaan mereka antaranya tiga pemenang pingat emas iaitu dua atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin serta jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin disambut ahli keluarga, peminat dan persatuan sukan dengan jambangan bunga dan tepukan gemuruh.

Orang ramai turut meraikan atlet angkat berat Muhammad Erry Hidayat yang meraih perak, atlet judo yang merangkul gangsa Amir Daniel Abdul Majeed dan beberapa atlet lain.

Turut hadir adalah Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat.

Mohamad Aniq penyumbang emas pertama menerusi kategori 55 kilogram (kg) lelaki dan Muhamad Aznil menyumbangkan emas kedua dalam kategori 61 kg lelaki sementara Bonnie menyumbangkan emas keempat dalam kategori lightweight bawah 72 kg.

Muhammad Erry meraih perak kategori 73 kg lelaki dan Amir Daniel Abdul Majeed raih gangsa menerusi kategori 73 kg lelaki. - BERNAMA