Abang Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB hari ini.

KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin telah diterima sebagai ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Demikian kata Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengesahkan perkara tersebut.

“Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menerima permohonan Willie untuk menjadi ahli PBB tanpa sebarang komitmen.

“Penerimaan Willie tanpa syarat. Beliau (Willie) menjadi ahli PBB kerana menyokong PBB, ia suatu perkara yang bagus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini, hari ini.

Premier Sarawak itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung permohonan Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk menyertai PBB.

Menurut laporan media pada 20 Jun lalu, Willie mengesahkan bahawa beliau telah menghantar permohonannya untuk menyertai PBB beberapa bulan sebelumnya, sambil mendakwa selama ini beliau 'secara teknikal' diletakkan dalam parti BERSATU bagi menyokong kerajaan semasa.

Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 atas tiket PKR.

Namun beliau diketepikan oleh parti itu selepas beliau bersama beberapa Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa 'Langkah Sheraton,' sebelum menyertai BERSATU.

Mengenai permohonan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang pula, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, perkara itu terpulang kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Ini saya serahkan kepada PRS untuk membuat keputusan kerana Jugah tidak memohon menyertai PBB, beliau mohon sertai PRS,” katanya.

Pada Februari lalu, Jugah yang meninggalkan PRS bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2018 sebagai calon bebas mahu pulang ke pangkuan PRS.

Perkara itu disahkan Ketua Pemuda PRS Snowdan Lawan, namun penyertaan semula Jugah belum diluluskan.