BISSAU: Senegal kelmarin menandatangani perjanjian dengan pemberontak dari selatan negara itu yang berjanji untuk meletakkan senjata mereka dan berusaha ke arah keamanan kekal di salah satu tanah pemberontakan aktif yang tertua di Afrika.

Pemimpin pemberontak Cesar Atoute Badiate, ketua unit Pergerakan Pasukan Demokrat Casamance (MFDC), dan utusan Presiden Senegal Macky Sall menandatangani perjanjian damai di Guinea-Bissau.

Sall telah menjadikan “keamanan berkekalan” di wilayah Casamance sebagai salah satu keutamaan penggal keduanya.

“Berapa ramai orang yang mati, telah dicacatkan atau meninggalkan kampung mereka? Kami akan mengiringi anda dalam mencari keamanan,” kata Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo kepada Badiate semasa majlis menandatangani perjanjian itu.

Embalo, yang juga ketua Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS), menambah: “Saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan menjadi penjamin perjanjian ini.”

Dokumen yang ditandatangani itu masih sulit buat masa ini.

“Saya mengalu-alukan perjanjian damai dan peletakan senjata yang ditandatangani pada 4 Ogos ini di Bissau antara Senegal dan jawatankuasa sementara sayap politik dan pejuang MFDC,” tulis Sall di Twitter.

“Saya tetap komited kepada perjuangan keamanan yang berkekalan di Casamance,” tambahnya sambil berterima kasih kepada Embalo atas pengantaraannya.

Casamance, wilayah paling selatan Senegal, hampir dipisahkan dari seluruh negara oleh negeri kecil Gambia. Ia mempunyai budaya dan bahasa yang berbeza dari masa lampau sebagai negeri bekas jajahan Portugis.

MFDC telah mengetuai kempen pemisah sejak 1982 yang mengorbankan ribuan nyawa. Kebanyakan konflik itu tidak aktif sehingga Senegal melancarkan serangan besar untuk mengusir pemberontak tahun lalu.

Dalam pertempuran pada 24 Januari, empat askar Senegal maut dan tujuh yang diculik dan dibawa melintasi sempadan ke Gambia. Pemberontak membebaskan tebusan pada bulan berikutnya.

Pada Mac, tentera melancarkan operasi baharu di mana ia mendakwa telah memusnahkan beberapa pangkalan pemberontak sebagai respons kepada kehilangan seorang askar dan lapan yang cedera. — AFP