KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan pelabur terus memantau pelbagai data ekonomi global sebagai panduan kepada hala tuju pasaran, menurut penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata kunjungan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke Taiwan baru-baru ini telah menyebabkan keresahan pasaran dalam situasi ketegangan AS-Sino yang semakin memuncak.

“Bagaimanapun, pelabur dilihat mengalihkan tumpuan daripada perkembangan geopolitik. Meskipun pertikaian Taiwan telah berakhir, kebimbangan mengenai ekonomi domestik China membayangi sentimen risiko positif.

“Selain itu, China terus mempolitikkan kawalan COVID-19 yang sepatutnya berakhir pada lewat tahun ini dan memburukkan lagi ekonomi domestik, menyebabkan ringgit boleh mendatar pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada masa depan, beliau berkata data senarai gaji bukan ladang AS yang dikeluarkan pada Jumaat dijangkakan tidak menjejaskan pasaran mata wang.

Peniaga akan kekal memberi tumpuan kepada data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada minggu depan yang tidak dinafikan menawarkan pemangkin utama kepada pasaran mata wang.

“Melihat kepada sentimen semasa, Innes berkata ringgit dijangka bersikap defensif, diniagakan dalam sentimen berhati-hati dalam jajaran 4.4450 hingga 4.4560 berbanding dolar AS minggu depan,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS, kecuali pada Jumaat berikutan perkembangan geopolitik di Taiwan.

Selain itu, kenyataan pegawai Rizab Persekutuan AS yang berkecenderungan menaikkan kadar faedah, terus mendominasi sentimen pasaran, sekali gus menambah daya tarikan terhadap dolar AS sebagai aset selamat.

Pada Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.4490/4520 berbanding 4.4495/4520 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound Britain pada asas Jumaat ke Jumaat.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2330/2355 daripada 3.2243/2266 minggu lepas dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.3459/3484 daripada 3.3347/3368 sebelum ini.

Mata wang tempatan turun berbanding euro kepada 4.5513/5544 daripada 4.5385/5410 pada minggu sebelumnya, namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3989/4025 daripada 5.4048/4078. - BERNAMA