Kr Toh (barisan kedua, berdiri, tiga kiri) ketika mewakili Lee menyerahkan bendera MSS Bahagian Miri kepada kontinjen Miri, pada Jumaat.

MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menaruh harapan supaya para atlet kontinjen bahagian Miri yang menyertai Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak pulang membawa kejuaraan dan kekal sebagai juara. 

Justeru, beliau mahu semua peserta yang dipilih mewakili Miri memberikan komitmen masing-masing dan melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk pasukan malah untuk diri sendiri. 

"Saya amat berharap agar semua atlet seramai 131 orang ini memberikan komitmen yang tinggi dan berjuang bersungguh-sungguh untuk memastikan Bahagian Miri mengekalkan kejuaraan pada temasya kejohanan peringkat negeri tahun ini," katanya. 

Lee memberitahu demikian dalam amanatnya kepada pasukan Miri semasa majlis penyerahan bendera MSS Miri kepada kontinjen bahagian Miri yang menyertai Kejohanan Olahraga MSS Sarawak yang akan berlangsung di Mukah dari 8 hingga 12 Ogos ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil beliau, Kaunselor Toh Kah Shiong. 

Bendera pasukan telah diserahkan kepada Ketua Pengurus Pasukan MSS Bahagian Miri Mohammad Effendi Panglima yang juga Pengetua SMK Lutong, sambil disaksikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Miri merangkap Pengerusi MSS Bahagian Miri Mariam Monek serta para pegawai kontinjen, jurulatih dan semua atlet yang terlibat. 

Dalam pada itu, Lee juga berharap agar lebih ramai atlet daripada bahagian Miri akan mewakili negeri Sarawak ke kejohanan olahraga peringkat kebangsaan nanti.  "Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang terpilih mewakili bahagian Miri ke kejohanan peringkat negeri dan berharap ramai yang akan terpilih untuk mewakili peringkat kebangsaan nanti," katanya.  

"Kepada semua barisan pegawai dan barisan jurulatih yang akan membawa pasukan Miri, saya berharap anda semua sentiasa memberi semangat, sokongan dan motivasi kepada semua atlet sepanjang kejohanan berlangsung kelak," tambah beliau.