CENDERA KENANGAN: Nizam (tiga kanan) menerima cendera kenangan daripada Tarsiah.

TAWAU: Program ‘Jerayawara Jelajah Sabah’ yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dilihat mampu membantu masyarakat di negeri ini terutamanya golongan wanita.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata program ini adalah peluang terbaik untuk mengetahui perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan supaya dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Katanya, terdapat beberapa agensi yang terlibat dalam program ini termasuklahBantuan Guaman, PERKESO, KWSP dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Ramai wanita terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar tidak mengetahui fungsi dan wujudnya perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan selama ini.

“Justeru, dengan adanya program mendekati masyarakat di seluruh negeri ini dapat membantu wanita dalam mengurus kehidupan mereka seharian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan program ‘Jerayawara Jelajah Sabah’ peringkat daerah Tawau, di sini hari ini.

Menurutnya,Klinik Bantuan Guaman dapat memberikan pengetahuan kepada golongan wanita bahawa mereka diberikan perhatian khususnya yang berkaitan kes-kes kritikal serta penganiayaan dari sudut Syariah, Sivil dan Adat.

“Perkhidmatan PERKESO dan KWSP juga disediakan supaya wanita yang berstatus pekerja ataupun suri rumah mengetahui hak mereka serta manfaat yang boleh diperolehi melalui dua agensi tersebut.

“Selain itu, wanita juga diberi pendedahan terhadap perancangan kewangan yang betul melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.

Sehubungan itu, Nizam menzahirkan ucapan tahniah kepada JHEWA, Majlis Pebandaran Tawau (MPT) serta semua agensi yang menjayakan program ini.

Semoga objektif yang direncanakan dalam penganjuran program ini mencapai matlamatnya dan semua masyarakat Tawau memperoleh manfaatnya,” katanya.

PESERTA: Nizam bergambar bersama semua peserta yang hadir.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah Datuk Tarsiah TZ Taman berharap peserta yang dijemput kali ini dapat menyebarkan kepada saudara mara dan rakan mereka.

Katanya, program kali ini hanya menjemput seramai 300 orang sahaja dan sebenarnya masih ramai lagi golongan sasar yang tidak dapat dipanggil kerana ia dibuat secara terhad.

“Sekiranya memperoleh bajet daripada kerajaan, kami berharap dapat mengadakannya lagi tahun hadapan dengan skala yang lebih besar.

“Bagaimanapun, saya berharap program yang diadakan tahun ini dapat mencapai sasaran sehingga ke akar umbi,” katanya.