ALBUM: Azizah dan Limus merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir pada majlis pra pelancaran itu.

KUALA PENYU: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun hari ini telah merasmikan majlis Pra Pelancaran Festival Bagandang Beaufort 2022 yang diadakan di Dewan Muhibbah Kampung Kerukan.

Pelbagai acara menarik diadakan antaranya persembahan daripada Razali & Crew; persembahan etnik Bisaya, persembahan etnik Dusun Tatana, persembahan etnik Brunei, persembahan etnik Kedayan dan persembahan etnik Cina.

Terdapat juga aktiviti pertandingan menyediakan set ambuyat serta pertandingan mewarna yang disertai penduduk setempat yang hadir pada majlis itu, termasuk juga gerai-gerai pameran serta jualan dibuka kepada para pengunjung.

Azizah ketika ditemui memberitahu, kemuncak bagi Festival Bagandang Beaufort 2022 dijangka akan diadakan pada bulan Oktober atau November ini, dengan sasaran untuk mempromosikan lagi keunikan festival itu.

LANCARKAN: Azizah (kiri) menunjukkan isyarat bagus sejurus melakukan simbolik perasmian pra pelancaran.

Apa yang penting katanya, festival yang diadakan tidak kira sama ada di peringkat pra pelancaran atau sebaliknya diyakini mampu mengukuhkan lagi silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang secara tidak langsung dapat menjadi contoh kepada keharmonian bersama.

Selain itu jelas Azizah, festival ini juga berupaya mempromosikan lagi daerah Beaufort ke peringkat antarabangsa yang dilihat dapat menggalakkan kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia, sekaligus membantu rakyat menjana ekonomi  dan hasil daripada sektor pelancongan.

Turut hadir pada majlis Pra Pelancaran Festival Bagandang Beaufort 2022, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu; Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sabastian Ingkim dan Pengerusi Induk Pra Pelancaran Festival Bagandang Beaufort 2022, Shaid Othman.