Anwar pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama ahli PKR di Pejabat MPN PKR, di Kuching hari ini. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Isu harga barang antara agenda dan fokus utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin dan tidak terbiar.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengakui situasi parti itu agak malap pada pilihan raya di Sarawak yang lalu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya turut menyatakan perasaan bangga menerusi laporan ketua cabang yang tertumpu ke arah meningkat dan menumpukan kepada isu rakyat.

"Kita bangga dengan laporan ketua cabang dengan menumpukan isu harga barang, tanah adat, kemiskinan, kesenjangan pendapatan di antara orang kaya dengan yang miskin.

"Terdapat keperluan untuk menetapkan agenda parti yang menumpukan soal pengurusan kerajaan dan menghentikan semua amalan merosakkan sama ada isu nasional atau negeri.

"Jangan kita lelah atau berasa letih untuk mengemukakan masalah ini kepada rakyat terutama miskin bandar, desa dan pedalaman," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama ahli PKR di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Dr Michael Teo Yu Keng.

Pada perjumpaan itu, Anwar turut mengumumkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Roland Engan selaku Pengerusi MPN yang baharu.

Jelas Anwar, Roland akan memulakan tugas bermula hari ini dengan menyusun serta memberi pandangan kepada mesyuarat pimpinan pusat yang diadakan pada akhir minggu ini di Kuala Lumpur.

"Sekarang ini, kita ada Ahli Parlimen serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan kita bincang untuk mendapat satu konsensus dari kalangan pimpinan Sarawak.

"Ia bertujuan ketua yang kita tonjolkan akan menggabungkan tenaga lama dan tenaga baharu selain muda dan wanita," katanya.