KENANGAN: Kedua-dua pasukan bergambar kenangan selepas perlawanan tersebut.

RANAU: Perlawanan persahabatan bola sepak mampu memupuk hubungan perpaduan, persaudaraan dan permuafakatan dalam kalangan pemain.

Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abd.Ghani berkata objektif utama perlawanan persahabatan diadakan adalah merapatkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin.

Katanya, kunjungan pasukan daripada Kuching Sarawak ke daerah ini sememangnya sangat dihargai oleh seluruh pemain di daerah ini.

“Kami sangat bersyukur kerana pasukan dari bumi kenyalang itu memilih daerah Ranau sebagai destinasi lawatan mereka ke Sabah.

“Perlawanan antara Bomag FC Ranau dan Hajibbah dari Kuching Sarawak ini diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan kedua-dua pasukan,” katanya ketika merasmikan perlawanan itu, di sini semalam.

Menurutnya, selain perlawanan ini, rombongan tersebut boleh mengambil kesempatan melawat daerah Ranau dan Kundasang yang sememangnya terkenal dengan lokasi pelancongan menarik.

“Sabah mempunyai keindahan Taman Warisan Dunia dan Gunung Kinabalu tertinggi di Asia Tenggara yang boleh dilawati,” katanya.

Terdahulu, pasukan Bomag FC diketuai oleh Aidil Shahrolmizan  telah memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan empat berbalas satu.