Mangsa diusung oleh pasukan bomba.

KUCHING: Seorang lelaki terpaksa diusung selepas mengalami kekejangan otot kaki ketika mendaki Bukit Batu Selabat, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa berusia 31 tahun dan merupakan pekerja Sarawak Energy Berhad semasa kejadian berada kira-kira 0.5 kilometer dari kaki bukit berkenaan.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya terus ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada jam 8.57 pagi.

"Mangsa kemudian berjaya diselamatkan dan diusung menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pasukan EMRS Bomba untuk rawatan awal," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Turut hadir di lokasi kejadian ialah anggota EMRS dari BBP Padungan dan anggota dari Pasukan Bomba Sukarela Bako Indah.