SERDANG: Kabinet mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman bagi menyiasat insiden melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kerana tidak mahu timbul perpecahan dalam kalangan kakitangan kerajaan susulan insiden itu sebaliknya mahu agar suasana hubungan harmoni antara penjawat awam dapat terus dikekalkan.

"Kabinet setuju untuk meminta KSN melihat perkara itu dan menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman untuk menyiasat perkara tersebut.

"Kita kena berlaku adil kepada semua pihak, yang mengadu dan yang diadu. Kita serah kepada jawatankuasa itu yang akan ditentukan KSN, siapa pengerusi dan ahli-ahli untuk membuat siasatan secara dalaman," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya mengenai insiden yang tular di media sosial berhubung dakwaan KPPA telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di KLIA pada 3 Ogos lepas,

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan pada 4 Ogos lepas, bagaimanapun menafikan tuduhan terhadap KPPA dan menjelaskan Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap pihak imigresen di KLIA berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.

Mengenai keanggotaan ahli jawatankuasa itu, Ismail Sabri berkata ia berkemungkinan melibatkan pihak luar malah ada yang mencadangkan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun sebagai pengerusi, namun keputusan pemilihan akan diserahkan kepada KSN.

Ditanya mengenai tempoh masa siasatan, beliau berkata ia terserah kepada jawatankuasa berkenaan memandangkan terdapat video yang tular dan perlu memanggil saksi kedua-dua belah pihak sebelum keputusan dapat dibuat. - BERNAMA