Ripin ketika menemui penduduk di kediaman mereka yang dimasuki air banjir.

MIRI: Dianggarkan sebanyak 30 rumah di kawasan rendah di DUN Lambir mengalami banjir akibat hujan lebat berterusan dari malam tadi dan awal pagi Sabtu. ADUN Lambir Dr Ripin Lamat berkata, antara kampung yang terkesan ialah Kampung Keluru Tengah dan Kampung Kejapil. 

"Kepada penduduk di kawasan rendah dan mudah dinaiki air diharap dapat berjaga-jaga dan berwaspada untuk mengelak kerosakan harta benda dan sebarang kemalangan,” ujarnya. 

Ripin berkata, hujan dalam dua hari ini juga menyebabkan beberapa laluan dinaiki air. Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan turut menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu dan mengurangkan kelajuan ketika melalui kawasan air bertakung. 

Jabatan Meteorologi meramalkan keadaan cuaca tidak menentu sehingga 9 Ogos. 

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk untuk lebih peka dan bersedia berdepan keadaan tersebut selain lebih berhati-hati mengelak kejadian tidak diingini berlaku.