KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih baik dengan aktiviti belian saham pada harga rendah dicatatkan minggu depan, berdasarkan pendapatan korporat yang kukuh dan data ekonomi yang positif.

Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan tinggi dalam julat 1,520-1,530 pada minggu depan.

Dari segi teknikal, paras halangan akan datang adalah pada 1,530 dan paras sokongan pada 1,480.

Beliau berkata indeks kekal pada paras 1,500 pada minggu ini -- paras tertinggi dalam tempoh dua bulan.

“Ternyata, kita dapat menyaksikan peningkatan dalam belian domestik dan asing yang kebanyakannya dalam saham perbankan, dengan pasaran menjejaki pasaran serantau, yang turut diniagakan secara positif,” katanya kepada Bernama.

Mengenai masa depan, katanya perkembangan positif itu menunjukkan bahawa pasaran ekuiti mempunyai lebih keyakinan daripada faktor dalaman dan luaran seperti prestasi pasaran ekuiti AS yang lebih kukuh dalam tempoh tiga bulan.

Mengenai ketegangan geopolitik antara China dan Taiwan, Nazri Khan berkata pasaran akan diniagakan mendatar jika ketegangan antara China dan Taiwan menjadi tumpuan utama.

“Jika terdapat sebarang peningkatan ketegangan politik antara kedua-dua negara, kita akan menyaksikan dagangan yang mendatar tetapi setakat ini tiada petunjuk bahawa ketegangan akan meningkat,” katanya.

Pada penutup dagangan pada Jumaat, FBM KLCI merosot 6.16 mata kepada 1,501.55 daripada 1,507.71 pada Khamis.

Pada asas mingguan, indeks petunjuk pasaran naik 9.32 mata kepada 1,501.55  daripada 1,492.23, pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 57.55 mata kepada 10,659.45, Indeks FBM Emas Shariah naik 95.55 mata kepada 10,830.32, FBM 70 menambah 17.22 mata kepada 12,775.66, Indeks FBMT 100 meningkat 52.80 mata kepada 10,405.68 dan FBM ACE naik 26.03 mata kepada 4,874.03. 

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 126.93 mata kepada 7,125.27 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 15.07 mata kepada 16,630.32, Indeks Tenaga merosot 18.21 mata kepada 653.03 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.39 mata kepada 183.98.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.41 bilion unit bernilai RM7.96 bilion daripada 12.23 bilion unit bernilai RM7.50 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 8.07 bilion saham bernilai RM6.75 bilion daripada 8.57 bilion saham bernilai RM6.45 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.56 bilion unit bernilai RM269.81 juta daripada 1.50 bilion unit bernilai RM275.57 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.76 bilion saham bernilai RM938.56 juta daripada 2.16 bilion saham bernilai RM770.09 juta pada minggu sebelumnya. - BERNAMA