Wee (dua kanan) menyerahkan buku PAMSC MBKS Bus Stop Design Competition 2021 kepada Abang Johari yang dilancarkan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-34 Bandaraya Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Warga Kuching digesa bersama memain peranan menjayakan larangan penggunaan polistirena dan plastik di Festival Makanan Kuching, kata Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng.

Menurut beliau, ia susulan inisiatif larangan menggunakan polistirena dan plastik telah dipatuhi sebaiknya daripada semua vendor, pasar dan pusat penjajanya.

"Bawa beg anda sendiri, bawa bekas 'tupperware' anda sendiri. Sokong peniaga dan penjaja kami kerana mereka berusaha meningkatkan standard mereka sendiri.

"Kami sedang berusaha untuk meletakkan acara dan aktiviti kami pada kedudukan bertaraf dunia dan, dengan bantuan anda, kami boleh mencapainya," ujarnya pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-34 Bandaraya Kuching yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di MBKS di sini, hari ini.

Wee berkata, usaha itu setakat ini telah pun diiktiraf di peringkat dunia, pertama dengan status Bandar Raya Perpaduan, diikuti oleh World Craft City yang diiktiraf oleh World Craft Council.

Tahun ini, Kuching katanya, telah ditetapkan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi pertama Malaysia di bawah UNESCO yang juga buat kali pertama wakil pada Persidangan Tahunan UCCN XIV di Santos, Brazil.

"Permohonan besar ini mengambil masa lebih setahun dan ia melibatkan begitu ramai pihak berkepentingan di bandar ini. Ia termasuk majlis di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Kesenian Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.

"Agensi-agensi ini bekerjasama dengan orang awam dan perusahaan swasta untuk memberi UNESCO gambaran penuh tentang bagaimana sektor kerajaan, gastronomi dan kreatif kita berusaha ke arah pembangunan mampan bandar dan negeri kita.

"Hasilnya ialah penetapan dalam rangkaian antarabangsa, komited untuk membina komuniti yang lebih baik melalui ekonomi kreatif kita," katanya.

Sementara itu, Wee memaklumkan MBKS kini sedang giat menaik taraf pasar basah di bawah bidang kuasanya dan akan melaksanakan perkara sama untuk taman serta laman di bawah MBKS.

"Pasukan landskap MBKS melakukan perkara yang menakjubkan untuk mencantikkan bandar raya dan mahukan warga Kuching terus bekerjasama dengan kami.

"Misalnya Kenyalang Park, antara salah satu komuniti kami yang tertua yang kini menjadi tuan rumah kepada taman baharu yang indah hasil kerjasama kerajaan, orang awam, pemain kreatif dan wakil masyarakat," katanya.

Di bawah naungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kenyalang Park kini mempunyai ruang yang luar biasa, tempat di mana penduduk bandar boleh bertemu dan sebagainya, kata beliau.

Hadir sama Timbalan Premier juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan.